Sumber rezeki menurut Al-Quran dan Hadis

Agama Hanita Hassan 03-Jun-2020
Ya, rezeki kerana bernikah © Odua | Dreamstime.com

Ramai dalam kalangan kita menyangka bahawa punca rezeki datangnya daripada usaha semata-mata. Allah SWT telah menceritakan dalam Al-Quran dan melalui lisan Rasulullah SAW bahawa rezeki itu adalah daripada pelbagai punca.

Usaha hanyalah satu daripadanya. Berikut adalah panduan ayat-ayat suci Al-Quran dan hadis yang boleh kita fahamkan berkenaan dengan dari mana datangnya rezeki.

Rezeki kerana usaha – Usaha untuk mendapatkan rezeki boleh diperoleh melalui pekerjaan atau perniagaan. Namun pada akhirnya kita kena bersandar dan yakin kepada kekuasaan Allah SWT jua.  “Dan bahawasanya seorang manusia tiada memperoleh selain apa yang telah  diusahakannya.”  (Surah An Najm, ayat 39)

Rezeki yang telah dijamin – “Dan tiadalah sesuatu pun daripada makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jualah yang menanggung rezekinya.”  (Surah Hud, ayat 6)

Rezeki kerana bersyukur – Kita hendaklah bersyukur dengan apa yang dilimpahkan Allah SWT sebelum kehilangan semuanya.  Firman Allah dalam Al-Quran bermaksud:  “Sesungguhnya jika kamu bersyukur pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu.”   (Surah Ibrahim, ayat 7)

Rezeki yang tidak disangka-sangka – “Dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (daripada segala perkara yang menyusahkannya) serta memberikan rezeki daripada jalan yang tidak terlintas di hatinya.”  (Surah at-Thalaq, ayat 2-3)

Rezeki kerana istighfar – Ucapkanlah Astaghfirullah al-Azim (Aku mohon ampun kepada Allah Yang Maha Agung) setiap hari untuk memohon ampun ke hadrat Allah SWT.  Ucapan ini sangat baik diamalkan. “Sehingga aku (berkata kepada mereka): “Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu.  Sesungguhnya adalah ia Maha Pengampun.  (Sekiranya kamu berbuat demikian), ia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah kepada kamu.” (Surah Nuh, ayat 10-11)

Rezeki kerana bernikah – “Dan nikahkanlah orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, orang-orang soleh daripada hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan.  Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurnia-Nya.  (Surah An Nur, ayat 32)

Rezeki kerana anak – Anak adalah anugerah Allah yang tidak ternilai.  Semakin ramai anak, semakin banyak limpahan rezeki.  Ini jelas termaktub dalam Surah Al-Isra, ayat 31 yang bermaksud: “Dan janganlah kamu membunuh anak-anakmu kerana takut miskin. Kamilah yang memberi rezeki kepada mereka dan kepada kamu. Sesungguhnya membunuh mereka satu kesalahan besar.”

Rezeki kerana bersedekah – Setiap harta yang kita miliki pasti di dalamnya ada bahagian orang lain yang lebih memerlukan.  Firman Allah SWT dalam Al-Quran:  “Siapakah yang memberi pinjaman kepada Allah,  pinjaman yang baik (menafkahkan hartanya di jalan Allah), maka Allah akan memperlipat gandakan pembayaran kepadanya dengan lipat ganda yang banyak dan Allah menyempitkan dan melapangkan (rezeki) dan kepada-Nya kamu dikembalikan.”  (Surah al-Baqarah, ayat 245)

Rezeki berpagi-pagian – Rasulullah SAW bersabda:  “Wahai anakku, bangunlah dan hadaplah rezeki Tuhanmu, dan janganlah engkau jadi kalangan orang yang lalai, sesungguhnya Allah membahagikan rezeki manusia di antara terbit fajar hingga terbit matahari.”  (Hadis riwayat Al Baihaqi)

Rezeki menjalin silaturahim – Silaturahim sesama manusia hendaklah dipelihara sebagaimana pesanan Rasulullah SAW dalam sabdanya yang bermaksud:  “Sesiapa yang ingin dimurahkan rezeki dan dipanjangkan umur, maka hendaklah ia menghubungkan silaturahim.”  (HR Bukhari dan Muslim)

Sesungguhnya setiap manusia mempunyai rezeki masing-masing yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.  Walau bagaimanapun, sudah semestinya kita masih perlu berusaha untuk mendapatkan rezeki yang lebih.

Ingin berkata sesuatu?

Sila berhubung!