Sumpah laknat tidak bercanggah dengan hukum syarak

Uncategorized MAS 24-Dis-2019

Sumpah laknat yang dilafazkan bekas Perdana Menteri, Najib Razak tidak bercanggah dengan hukum syarak. Demikian pandangan Mufti Pahang, Dr Abdul Rahman Osman. Menurut beliau istilah sumpah laknat (li’an) dan “mubahalah” (saling laknat melaknati) terdapat dalam ajaran Islam. Namun demikian, pelaksanaannya memerlukan konteks dan situasi yang bertepatan.

Ianya tidak sesuai untuk diamalkan oleh orang ramai kerana mengakibatkan perbuatan tersebut menjadi amalan untuk pelbagai situasi. Malaysia juga mengamalkan perundangan sivil dan bukan hukum syarak yang menjadikannya kurang wajar. Namun demikian ianya mungkin perlu untuk sesetengah pemimpin jika tiada pilihan.

Najib melafazkan sumpah laknat di Masjid Kampung Baru, Jumaat lalu. Sumpah berkenaan dibuat untuk menafikan penglibatan beliau dalam kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu. Beliau bertindak demikian selepas Azilah Hadri yang telah disabit bersalah membunuh Altantuya membuat perakuan bersumpah (SD).

SD berkenaan dibuat dari Penjara Kajang oleh Azilah, banduan yang sedang menunggu hukuman gantung. Kandungan SD tersebut mendakwa pembunuhan Altantuya dibuat atas arahan daripada Najib dan Abdul Razak Baginda. Azilah mendakwa, dia dan Sirul Azhar hanya menurut arahan “shoot to kill” (tembak mati). Arahan dilaksanakan sebagai anggota pasukan Unit Tindakan Khas (UTK) polis.

Semalam, Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Zulkifli Mohamad menegaskan sumpah laknat tiada dalam perundangan Islam kecuali li’an. Li’an dilakukan oleh suami yang menyaksikan isterinya berzina dengan lelaki lain, tanpa adanya empat saksi lain. Istilah “mubahalah” pula tidak merujuk kepada perundangan Islam.

Sementara itu, Dr Zamihan Mat Zin mempertahankan hak Najib melafazkan sumpah laknat untuk menafikan tuduhan yang dilemparkan. Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah (Aswaja) itu menyatakan sumpah yang dibuat berbentuk tazkiyyah atau tabri’ah.

Tazkiyyah (penyucian diri) atau tabri’ah (pelepasan diri) dibuat atas fitnah atau tuduhan jahat. Ia pernah dilakukan oleh Saad ibn Abi Waqqas, seorang sahabat terhadap seorang lelaki yang memfitnah beliau. Namun, ia tidak digalakkan kerana khuatir mereka yang bersumpah, mempermainkan nama Allah dan akan mengundang laknat.