Sunah apa semanis madu?

Makanan Hanita Hassan 18-Jun-2020
Semanis madu © Meysam Rezvani Abkenari | Dreamstime.com

Madu adalah makanan sunah yang menjadi sumber tenaga terpenting sejak zaman berzaman. Ia turut digunakan sebagai agen pemanis, pewarna, perasa, dan menambah kelikatan dalam produk makanan. Madu berkualiti dikeluarkan pada musim bunga dan musim panas.  Sebaliknya yang terhasil pada musim sejuk kurang kualitinya.

Dalam Al-Quran madu disebut secara spesifik sebagai makanan ahli syurga dan di dalamnya mengandungi penyembuhan penyakit untuk manusia. Kajian saintifik membuktikan madu mempunyai kesan anti mikrob, anti keradangan, serta anti pengoksida semula jadi.

Banyak ayat Al-Quran dan hadis yang menyatakan keistimewaan madu.  Selain menyembuhkan pelbagai jenis penyakit, ia juga membantu memenuhi keperluan tubuh badan manusia.

Rasulullah SAW pernah menyatakan bahawa setiap penyakit itu ada ubatnya.  Baginda bersabda yang maksudnya:  “Berubatlah, maka sesungguhnya Allah tidak meletakkan penyakit kecuali Allah menyediakan baginya ubat, kecuali satu penyakit iaitu tua.”  (Hadis riwayat Abu Dawud)

Baginda Nabi SAW juga berpesan agar seseorang itu berubat dengan madu dan Al-Quran. Sepertimana sabda Baginda yang bermaksud: “Ambillah (yakni gunakanlah) olehmu sekalian akan dua ubat penyembuh iaitu madu dan Al-Quran.”  (HR Ibnu Majah)

Pernah seorang lelaki datang kepada Rasulullah SAW mengadu tentang saudaranya yang sakit perut.  Baginda menyarankan agar lelaki tersebut memberikan madu.  Namun lelaki itu datang semula menyatakan penyakit saudaranya itu tidak juga sembuh.

Nabi SAW menyuruh saudara pemuda itu terus minum madu sehingga tiga kali.  Jawab lelaki itu, saudaranya telah minum madu tetapi penyakitnya bertambah.  Akhirnya Baginda berkata:  “Allah benar dan perut saudaramu itu berbohong.”  Lalu Rasulullah SAW sendiri memberi minum lelaki tersebut dengan madu dan dia akhirnya sembuh.” (HR Bukhari dan Muslim)

Hadis di atas menjelaskan bahawa madu adalah ubat segala penyakit.  Walaupun Nabi SAW tidak melihat pesakit berkenaan, terus menyebutkan madu sebagai ubatnya.

Dari Ibn Abbas r.a, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:  “Kesembuhan itu berada pada tiga hal iaitu minum madu, sayatan pisau bekam dan sundutan dengan api panas (kay).  Sesungguhnya aku melarang umatku berubat dengan kay.” (HR Bukhari)

Masyarakat Mesir purba menggunakan madu dalam bidang perubatan. Madu boleh mengubat penyakit luka, sakit perut, usus, pinggang dan mata.  Pada zaman itu, madu turut digunakan sebagai bahan pengawet untuk mayat supaya tidak busuk.  Masyarakat Yunani dan Rumawi menganggap madu sebagai sumber kesihatan yang boleh melanjutkan usia.

Ini diakui oleh Ibnu Sina yang menyatakan:  “Jika anda ingin awet muda, minumlah madu.”  Beliau menambah bahawa:  “Sesungguhnya madu lebah dapat menguatkan semangat, menambah kerajinan, menjaga awet muda dan melancarkan percakapan.”

Setelah kita ketahui semua kebaikan yang terdapat dalam madu, marilah segera kita amalkannya mulai sekarang.  Ambillah sesudu pagi dan malam.  Semoga dengan tubuh badan yang sihat, kita dapat meningkatkan ibadah kepada Allah Yang Maha Esa.