Sunah-sunah Nabi Muhammad SAW yang mudah dipraktikkan

Sahsiah Abi Aasim 20-Ogo-2020
Senyum adalah sunah! © Odua | Dreamstime.com

Nabi Muhammad SAW adalah Nabi dan Rasul terakhir yang diutuskan Allah SWT di muka bumi. Kehadiran Baginda Rasulullah sememangnya membawa rahmat ke seluruh alam. Budi pekerti Baginda memang tidak dapat ditandingi oleh sesiapa.

Nabi Muhammad SAW telah meninggalkan amalan sunah yang boleh diikuti oleh kita semua. Alhamdulillah jika kita dapat mengamalkan sunah-sunah Baginda Rasulullah setiap hari. Namun sebagai manusia, memang tidak dapat dinafikan ada masanya kita gagal melakukan amalan suna secara konsisten.

Oleh itu marilah kita mula cuba mengamalkan sunah-sunah Nabi Muhammad SAW secara konsisten di dalam kehidupan seharian. Berikut adalah beberapa sunah Baginda yang boleh kita lakukan dengan agak mudah setiap hari:

Berzikir

Banyakkanlan berzikir memuji kebesaran Allah SWT. Banyak kelebihan yang kita perolehi jika kita mendidik diri untuk sentiasa berzikir memuji nama-nama Allah. Tidak mengira waktu dan tempat, malah kita boleh berzikir pada bila-bila masa sahaja. Ketahuilah, dengan berzikir boleh menjadikan hati kita merasa tenang.

Senyum

Senyum adalah sunah Rasulullah SAW yang paling mudah untuk kita amalkan. Jangan lokek untuk memberikan senyuman kepada orang lain. Apabila bertemu ataupun terserempak dengan seseorang, maniskanlah muka dan ukirkanlah senyuman dari hati yang ikhlas. Insya Allah asbab senyuman anda, mungkin hari orang tersebut menjadi bertambah baik.

Mengucap salam

Memberikan salam kepada sesama muslim adalah sunat. Mereka yang menerima salam pula wajib untuk menjawabnya. Jika kita berjumpa kawan di mana-mana tempat, ringankanlah mulut untuk memberi salam sebagai tanda menyapa. Mengucap salam bukan sahaja tertumpu kepada kenalan sahaja, malah boleh diberikan kepada individu-individu yang kita tidak kenal. Namun, biarlah bersesuaian dengan tempat dan situasinya.

Sunah ketika makan dan minum

Setiap kali ingin memulakan makan, Rasulullah SAW akan membaca doa makan terlebih dahulu. Kemudian, Baginda mengambil makanan yang paling dekat dengannya. Sekiranya makanan atau minuman yang dihidangkan masih panas, Baginda tidak akan meniupnya. Antara sunah lain yang dilakukan baginda adalah dengan menjilat jari jemari Baginda yang masih mempunyai baki sisa makanan untuk membersihkannya selepas suapan terakhir.

Sunah ketika memakai kasut

Rasulullah SAW akan mendahulukan kaki kanan untuk menyarung kasut ataupun selipar dan diikuti kaki kiri. Ini juga merupakan sunah yang paling mudah dilakukan. Setiap hari apabila kita keluar dari rumah, jadikanlah sunah ini sebagai amalan kebiasaan.

Sunah ketika berpakaian

Ketika ingin menyarung ataupun membuka pakaian, disunahkan ke atas kita untuk membaca Bismillah terlebih dahulu. Dan selepas itu, mulakanlah dengan bahagian kanan seterusya diikuti bahagian kiri pula.

Begitulah antara beberapa sunah-sunah Rasulullah SAW yang dapat kita amalkan secara mudah dalam kehidupan seharian secara konsisten. Sunah adalah panduan utama untuk memimpin kehidupan yang produktif dan berjaya. Jadikanlah al-Quran dan sunah Nabi Muhammad SAW sebagai panduan dan pegangan hidup kita.