Sunan Bonang dan tasbih biji pisang

Kepercayaan Zalika Adam 05-Ogo-2020
Tasbih biji pisang Sunan Bonang © facebook.com/TasbihBijiPisangSunanBonang

Tasbih biji pisang Sunan Bonang sangat istimewa, kerana pokok pisang ini hanya terdapat di sekitar Makam Sunan Bonang di Tuban, Jawa Timur. Kabupaten Tuban mempunyai banyak destinasi pelancongan keagamaan di setiap wilayah, terutama makam penyebaran Islam.

Raden Maulana Makdum Ibrahim – Sunan Bonang

Sunan Bonang dilahirkan pada tahun 1465 Masehi. Nama beliau ialah Raden Maulana Makdum Ibrahim. Beliau merupakan putra Sunan Ampel dan Nyai Ageng Manila. Bonang adalah sebuah perkampungan di Kabupaten Rembang. Sunan Bonang juga digelar dengan nama Bong Ang sempena nama ayahnya Bong Swi Hoo Alias Sunan Ampel.

Beliau meninggal dunia pada tahun 1525 Masehi. Asal makamnya terletak di Kampung Bonang. Namun, yang selalu diziarahi adalah makamnya di Kota Tuban. Terdapat dua lokasi makam Sunan Bonang iaitu di Madura dan Tuban.

Hal ini disebabkan ketika beliau meninggal dunia, berita kematiannya sampai kepada seorang murid yang berasal dari Madura. Murid tersebut sangat mengagumi beliau sehingga ingin membawa jenazah beliau ke Madura.

Walau bagaimanapun, murid tersebut tidak dapat membawa jenazahnya dan hanya dapat membawa kain kafan dan pakaian-pakaiannya sahaja. Ketika menyeberangi Tuban, terdapat seorang murid lain yang berasal dari Tuban, mendengarkan ada seorang murid dari Madura yang ingin membawa jenazah beliau. Lantas, kedua-duanya berebutkan jenazah tersebut. Akhirnya makam beliau dimakamkan di Kota Tuban, Jawa Timur.

Sunan Bonang – sastera dan zikir

Sunan Bonang banyak menghasilkan karya sastera berbentuk suluk atau perumpamaaan. Antaranya ialah Suluk Wijil yang dipengaruhi kitab Al Shidiq karya Abu Sa’id Al Khayr. Beliau juga menulis sebuah kitab yang berkisar tentang Ilmu Tasawwuf berjudul Tanbihul Ghofilin. Kitab setebal 234 muka surat ini  menjadi sangat terkenal  di kalangan para ulama.

Sunan Bonang dikatakan seorang ulama terkenal yang mengajak kepada kebaikan dan mendekatkan diri kepada Allah SWT. Beliau sering berzikir menggunakan tasbih. Dalam buku ‘Islam Pesisir’ karangan Nur Syam menceritakan bahawa pada suatu waktu, Sunan Bonang sedang khusyuk berzikir di beranda masjid, tiba-tiba tali tasbih yang digunakannya terputus.

Maka, butiran tasbih yang asalnya bersusun rapi, jatuh bertebaran. Disebabkan sayangnya beliau kepada tasbih tersebut, dengan bantuan beberapa orang murid mencari dan mengumpulkan butiran tasbih. Setelah puas mencari, Sunan Bonang hanya mampu menemukan 99 dari 100 butir tasbih sahaja. Akhirnya, beliau hanya mengikhlaskan (membiarkan) satu butir yang tidak ditemui.

Tasbih biji pisang Sunan Bonang

Selepas kehilangan sebutir tasbih diketahui oleh Sunan Giri, lantas beliau juga turut mencari sebutir tasbih tersebut sehingga menemuinya. Setelah ditemui, biji tasbih diserahkan kepada Sunan Bonang. Walaupun sudah menjumpainya, beliau tidak berasa gembira bahkan membiarkan sebutir biji itu ditanam supaya membiak dengan banyak dan dapat dimanfaatkan.

Akhirnya satu butir tasbih yang merupakan biji pisang itu ditanam di perkarangan masjid. Apabila pokok pisang itu membesar, butir tasbih itu tumbuh menjadi sebatang pokok pisang yang hanya menghasilkan buah pisang berbiji besar. Ia amat berbeza dengan pokok pisang yang biasa.

Tasbih Sunan Bonang amat terkenal menjadi tarikan pelancong apabila menziarahi makam tersebut. Pelancong pasti membelinya sebagai cenderamata dibawa pulang. Ia juga dikatakan untuk mendapat berkat dari para ulama tersohor.