Sunan Giri cipta puisi, lagu kanak-kanak sebagai cara dakwah Islam

Asia 09 Mac 2021 Md Wa'iz
Terkini oleh Md Wa'iz
Sunan Giri cipta puisi, lagu kanak-kanak sebagai cara dakwah Islam
Sunan Giri cipta puisi, lagu kanak-kanak sebagai cara dakwah Islam (foto: Giri Kedaton) © surabaya.liputan6.com

Salah seorang daripada Wali Songo yang terkenal ialah Sunan Giri. Menarik mengenai Sunan Giri, beliau menyebarkan Islam di Pulau Jawa menerusi bidang kesenian.

Bagaimana beliau melakukannya?

Sejarah ringkas peribadi Sunan Giri

Nama sebenar bagi Sunan Giri ialah Muhammad Ainul Yakin. Sunan Giri juga dikenali dengan nama lain iaitu Raden Paku dan juga Joko Samudra. Beliau dilahirkan pada tahun 1441 Masihi di kawasan Blambangan yang kini dikenali dengan nama Banyuwangi.

Sunan Giri adalah anak kepada Maulana Ishak, yang merupakan adik beradik kepada Maulana Malik Ibrahim (Sunan Gresik). Menurut beberapa pandangan, beliau dipanggil sebagai Joko Samudra kerana semasa kecil, beliau telah dibuang ke laut oleh ibunya yang merupakan seorang puteri raja Blambangan.

Sebab beliau dibuang ke laut semasa kecil adalah kerana dikatakan membawa penyakit. Selain itu, ada juga yang mengatakan bahawa dia disingkirkan oleh menteri kerajaan untuk menghalangnya daripada menjadi waris kerajaan.

Sunan Giri telah diselamatkan dan dijadikan anak angkat oleh seorang pedagang wanita. Beliau telah berguru dan mempelajari ilmu Islam daripada pusat pengajian yang didirikan oleh Sunan Ampel.

Sunan Giri mendalami ilmu-ilmu Islam bersama-sama Sunan Bonang. Kemudian, Sunan Giri telah pergi ke Tanah Arab untuk meneruskan pengajian agama Islamnya di sana.

Dari pondok kepada kerajaan

Setelah pulang dari Tanah Arab, Sunan Giri membangunkan sebuah pondok pengajian di kawasan berbukit di daerah Kemobas. Pondok pengajian itu dinamakan sebagai Pesantren Giri. Giri membawa maksud ‘bukit-bukit’, lokasi di mana pesantren tersebut dibangunkan.

Pesantren miliknya ini telah menjadi salah satu daripada pusat penyebaran Islam terpenting di Pulau Jawa. Seiring peredaran masa, pesantren ini semakin berkembang dan terkenal. Bukan sahaja di Pulau Jawa, tetapi ia juga terkenal di sekitar Kalimantan, Sulawesi dan juga Maluku.

Disebabkan pengaruh yang cukup kuat, akhirnya pesantren ini berkembang menjadi sebuah kerajaan kecil. Kerajaan kecil ini dikenali sebagai Kerajaan Giri Kedaton. Namun, ia kemudiannya ditakluk oleh Sultan Agung dari Kerajaan Mataram.

Sunan Giri berdakwah melalui kesenian

Salah satu daripada ciri unik kaedah dakwah Islam yang dilakukan oleh Sunan Giri ialah melalui kesenian. Ini kerana, manusia amat cenderung kepada perkara-perkara berkaitan seni dan juga hiburan.

Sunan Giri telah mencipta beberapa jenis lagu berbahasa Jawa untuk kanak-kanak. Dalam lagu-lagu tersebut, terkandung beberapa ajaran agama Islam. Lagu kanak-kanak ini dicipta oleh beliau untuk mendidik kanak-kanak dengan ajaran Islam secara tidak langsung.

Selain itu, Sunan Giri juga mencipta tembang, iaitu sejenis puisi bahasa Jawa yang juga terkandung ajaran Islam. Antara tembang ciptaannya ialah seperti ‘Pucung’ dan ‘Asmaranda’.

Oleh kerana kaedah dakwahnya yang unik melalui kesenian, maka ramai daripada penduduk Gresik telah tertarik untuk memeluk Islam. Sunan Giri telah meninggal dunia pada tahun 1506 Masihi dan dikuburkan di Desa Giri, Gresik, Jawa Timur.

Sesungguhnya, amat besar jasa Sunan Giri dalam mengislamkan ramai penduduk di Tanah Jawa, khususnya di kawasan Gresik.