Buletin SalamWebToday
Sign up to get weekly SalamWebToday articles!
Maafkan kami, ralat berlaku disebabkan oleh:
Dengan melanggan, anda bersetuju dengan Syarat dan Dasar Privasi SalamWeb
 Seni Buletin

Sunan Gunung Jati pendiri kesultanan Islam Banten

Sejarah 01 Feb 2021
Pilihan
Sunan Gunung Jati pendiri kesultanan Islam Banten
Sunan Gunung Jati pendiri kesultanan Islam Banten (foto: Masjid Agung Banten) © selasar.com

Kesultanan Banten adalah salah satu daripada Kesultanan Islam yang pernah berdiri di Pulau Jawa, Indonesia. Berikut adalah beberapa maklumat ringkas berkenaan Kesultanan Banten yang mungkin tidak pernah anda dengar sebelum ini.

Sebelum Wilayah Banten berdiri menjadi sebuah kesultanan, dahulunya ia adalah sebahagian daripada wilayah taklukan Kerajaan Sunda. Kerajaan Sunda pula adalah sebuah kerajaan Hindu pada ketika itu.

Sejarah kewujudan Kesultanan Banten

Dikatakan Kesultanan Banten ini didirikan bermula abad ke-16 Masihi. Pada sekitar abad ke-15, pusat pengembangan agama Islam di Kepulauan Jawa masih tertumpu di Demak.

Sunan Gunung Jati dan juga puteranya telah mengambil inisiatif untuk mengembangkan lagi ajaran Islam ke bahagian barat Pulau Jawa. Dengan itu, Sunan Gunung Jati telah berlayar dari Demak ke kawasan Banten di Jawa Barat.

Dengan bantuan Kesultanan Demak, Sunan Gunung Jati telah merebut kawasan Pelabuhan Banten daripada kekuasaan Kerajaan Sunda. Tujuannya adalah untuk mendirikan kesultanan baharu iaitu Kesultanan Banten yang kemudiannya menjadi salah satu gabungan Kesultanan Demak.

Walaupun pada ketika itu Kerajaan Sunda dibantu oleh pihak Portugis, namun Sunan Gunung Jati berjaya menjatuhkan kekuasaan Kerajaan Sunda ke atas Banten. Maka bermulalah era baharu Banten di bawah kekuasaan pentadbiran Islam.

Sunan Gunung Jati pendiri kesultanan Islam Banten

Sunan Gunung Jati atau nama sebenarnya, Syarif Hidayatullah, diiktiraf sebagai pengasas kepada Kesultanan Banten. Namun, beliau tidak mengangkat dirinya sendiri untuk menjadi sultan atau pemerintah di Banten.

Banten diserahkan kepada anaknya, Sultan Hasanuddin untuk ditadbir. Manakala, Sunan Gunung Jati pula dipilih untuk menjadi Sultan Cirebon yang kedua. Ketika berlakunya perebutan kuasa di Kesultanan Demak, Kesultanan Banten telah mengisytiharkan bahawa mereka adalah kerajaan yang bebas daripada pengaruh kekuasaan Demak.

Pada saat ini juga, Kesultanan Banten mencapai puncak kekuasaannya. Wilayah yang ditaklukinya juga amat besar memandangkan kebanyakan wilayah yang dimilikinya adalah bekas wilayah milik Kerajaan Padjadjaran.

Saat kegemilangan Kesultanan Banten

Kerajaan Padjadjaran telah dikalahkan oleh sultan kedua Banten iaitu Maulana Yusuf. Pada saat Kerajaan Padjadjaran dikalahkan, Kesultanan Banten turut berjaya menguasai antara pelabuhan terbesar milik Padjadjaran iaitu Pelabuhan Sunda Kelapa.

Pelabuhan Sunda Kelapa kini dikenali ramai sebagai Jakarta, ibu kota Republik Indonesia. Banten juga pernah terkenal dengan peranannya sebagai pusat perdagangan antarabangsa pada ketika itu.

Malah, Kesultanan Banten juga memiliki angkatan tentera laut mereka sendiri untuk melindungi kawasan perdagangan serta pelabuhan mereka. Selain itu, tentera laut mereka berperanan melindungi Kesultanan Banten daripada serangan kerajaan-kerajaan lain di Nusantara dan pihak asing dari Eropah.

Pengkhianatan penyebab Kesultanan Banten jatuh

Pada waktu pemerintahan sultan Banten keempat, iaitu Sultan Ageng Tirtayasa, pengaruh Syarikat Hindia Timur Belanda (VOC) sudah mula memasuki Banten. Sultan Ageng Tirtayasa telah banyak melawan dan menentang penjajahan Belanda ini disebabkan penguasaan monopoli perdagangan oleh pihak Belanda.

Namun, puteranya sendiri telah bekerjasama dengan Belanda untuk menjatuhkannya daripada menjadi pemerintah Banten. Jatuh bangun Kesultanan Banten mengajar kita betapa sukarnya menubuhkan sebuah kerajaan Islam dan mudahnya untuk menjatuhkannya.

Apatah lagi, tidak sepatutnya berlakunya perebutan kuasa dalam kalangan ahli keluarga sendiri. Namun, Kerajan Banten tetap menjadi bukti kuatnya penyebaran Islam di Pulau Jawa.