Suri Katriana – Drama Terbaru Tampilkan Ernie Zakri & Ummi Nazeera

Drama bersiri sepanjang 49 episod, ’Suri Katriana’ merupakan sebuah naskah asal yang mengangkat genre melodrama berat terbitan pihak Astro Prima dengan kerjasama syarikat produksi MIG Production Sdn Bhd, arahan sutradara Mohd Fazli Yahya atau lebih dikenali dengan Pali Yahya.

Drama ‘Suri Katriana’ ini akan berdurasi selama 60 minit setiap episod dan bakal bersiaran secara eksklusif pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, jam 6.00 petang mulai 30 Oktober 2019 menerusi slot Tiara secara eksklusif di saluran Astro Prima (105) dan Prima HD (121).

Buat pertama kalinya penyanyi terkenal iaitu Ernie Zakri terjun ke bidang lakonan dan menggalas tanggungjawab sebagai salah seorang pelakon utama drama ini di samping pelakon popular, Ummi Nazeera.

Turut sama menjayakan drama arahan Pali Yahya adalah barisan pelakon-pelakon popular seperti Nazim Othman, Rozita Che Wan, Nadiya Nisa, Zul Huzaimy, Hasnul Rahmat, Eleena Sui, Ezzaty Abdullah dan ramai lagi.

Walaupun ini merupakan gandingan sulung kedua-dua tonggak utama, Ernie Zakri dan Ummi Nazeera berjaya mencetuskan satu keserasian di antara mereka. Mereka perlu menjiwai watak seorang individu yang sama bernama ‘Suri Katriana’, seorang penari yang berperwatakan lembut kemudiannya bertukar menjadi seorang yang pendendam dan kadang-kala mengalami momen gangguan mental kerana begitu ingin mengetahui perkara yang berlaku di sebalik kematian ibunya.

Salah satu aspek utama ‘Suri Katriana’ adalah tarian, justeru bagi memastikan pelakon utama mampu menjiwai karakter yang diberikan dengan baik, pihak produksi telah mengupah tenaga jurutari profesional untuk mengajar rentak tarian yang betul dan bersesuaian untuk watak-watak yang dijayakan.

Selain dari menggalas watak utama, Ernie Zakri turut diberi kepercayaan untuk menyampaikan lagu runut bunyi khas (OST) untuk ‘Suri Katriana’. Lagu yang berjudul ‘Sinar Mata Hati’ ini dicipta oleh komposer terkemuka, Helen Yap bersama Slen Fadzil selaku penulis lirik.