SURIA FM Tampil Dengan Iklan Raya ‘Meja Bulat Mak’

Masih mengekalkan tema Segalanya Lebih Bermakna, Suria menawarkan pelbagai pengisian khas sempena Ramadan Raya tahun ini. Pengisian ini merangkumi video Ramadan, aktiviti amal, program Raya yang boleh ditonton menerusi laman web www.suria.my.

Sejak tiga tahun lepas, Suria memperluaskan platformnya dalam menyebarkan maklumat dan memberikan hiburan kepada orang ramai di mana Suria mengenengahkan video digital dan siri jelajahnya.

Usaha memperluas dan memperkukuhkan jenama SURIA dalam dunia digital tidak terhenti disitu sahaja kerana Suria kekal komited menawarkan beberapa initiatif sempena Ramadan dan Raya ini antaranya adalah iklan pendek dan program muzikal.

Tahun ini buat pertama kalinya SURIA menerbitkan iklan pendek yang dibarisi oleh penyampai-penyampai popular SURIA sendiri seperti Sharifah Shahira, Feeya Iskandar, Issey Fazlisham, DJ Lin, Tyzo, Suraya Borhan dan Fizi Ali. Turut menjayakan iklan yang diberi nama ‘Meja Bulat Mak’ ini adalah seniwati Fauziah Nawi.

‘Meja Bulat Mak’ merupakan iklan pendek terbitan Suria yang mengisahkan tentang 7 beradik yang jarang berpeluang untuk pulang beraya ke kampung atas kesibukan kehidupan di kota raya.

Namun, setelah mak ‘pergi’, akhirnya Kak Long, Angah, Alang, Kak Teh, Abang Chik, Piji dan Cik Piah berkesempatan untuk berkumpul di meja bulat mak yang terletak di tengah ruang makan rumah pusaka arwah abah pada malam raya.

Sepanjang berada di meja bulat mak, masing-masing mula mengimbau kembali kisah silam zaman kanak-kanak. Dari cerita kuih siput hinggalah ke tragedi bersama Pak Karim.

Detik yang sepatutnya menjadi sesuatu yang menggembirakan adik-beradik ini berakhir dengan pertengkaran. Isu demi isu dibangkit. Dari nada gembira bertukar ke nada marah.

Apakah yang bakal berlaku? Mungkinkah pertelingkahan tujuh beradik ini akan membawa kepada konflik keluarga yang lebih dahsyat? Adakah meja bulat mak menjadi ‘punca’ kepada perpecahan keluarga ini?

Saksikan kesudahan Meja Bulat Mak menerusi Youtube Suria TV dan media sosial Facebook SuriaFM mulai 27 Mei 2019.