Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) laksana proses tender untuk pelancaran 5G

Kehidupan MAS 01-Jan-2020

MCMC telah mengenal pasti jalur spektrum 700MHz, 3.5GHz dan 26/28 GHz sebagai spektrum perintis bagi pelaksanaan 5G di Malaysia. Keputusan diambil berikutan perkembangan pesat ekosistem dan pelaksanaan 5G di seluruh negara. MCMC sedang mempertimbangkan pendekatan di mana peruntukan jalur-jalur spektrum 700MHz dan 3.5GHz diberikan kepada sebuah konsortium. Konsortium terbabit pula terdiri daripada beberapa pemegang lesen dan bukannya pemegang lesen individu, menurut kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Berikutan itu, MCMC akan melaksanakan proses tender. Pendekatan ini dipilih bagi mengurangkan perbelanjaan modal dengan meminimumkan kos dan mengelakkan pertindihan infrastruktur. Pada masa yang sama penambahbaikan rangkaian 4G masih berterusan.

MCMC hanya akan memperuntukkan 2×30 MHz bagi jalur spektrum 700 MHz dan 100 MHz bagi jalur spektrum 3.5 GHz buat masa ini. Frekuensi selebih akan dipertimbangkan pada peringkat seterusnya. Ini disebabkan ianya merupakan satu pendekatan baru.

Penguntukan jalur spektrum 26/28 GHz akan dilakukan menerusi dua cara. Frekuensi 24.9GHz hingga 26.5GHz akan diperuntukkan melalui proses tender kepada pemegang lesen untuk penggunaan seluruh negara. Manakala, frekuensi 26.5GHz hingga 28.1GHz akan diperuntukkan secara ‘first-come first-served’ dan terbuka kepada mana-mana pihak untuk penggunaan kawasan setempat atau rangkaian persendirian.

Penguntukan bagi jalur spektrum tersebut dibuat menerusi penguntukan radas (Apparatus Assignment – AA). MCMC menjangkakan caj spektrum melalui AA adalah lebih menjimatkan dan bakal menggalakkan pelaksanaan oleh penyedia-penyedia perkhidmatan. Melalui penjimatan tersebut, perniagaan dan pengguna akan menikmati perkhidmatan berkualiti pada harga yang lebih berpatutan.

Menurut kenyataan itu lagi, MCMC meramalkan pengkomersialan 5G akan bermula pada suku ketiga 2020, apabila selesainya proses penguntukan tersebut. Rancangan tersebut selari dengan perbincangan oleh Petugas Khas 5G yang ditubuhkan sejak November 2018. Pasukan berkenaan dianggotai 114 organisasi daripada sektor swasta, kementerian dan agensi berkaitan.