Susu ibu anugerah terindah

Kesihatan Hanita Hassan
Pilihan
Susu ibu anugerah terindah
Susu ibu anugerah terindah © Paulus Rusyanto | Dreamstime.com

Susu ibu atau susu badan adalah makanan semula jadi terbaik untuk bayi.  Ia membantu dari segi nutrisi pemakanan dan juga ketahanan badan bayi.  Penyusuan akan membina ikatan kasih sayang yang kuat di antara kedua-dua ibu dan bayi untuk jangka masa panjang.

Sebaik sahaja dilahirkan, anda boleh menyusukan bayi.

Susu ibu anugerah terindah

Susu pertama yang anda berikan kepada bayi dipanggil kolostrum.  Ia pekat, kelihatan berkrim, kaya dengan protein dan rendah kandungan lemak. Cecair istimewa ini mengandungi antibodi yang dipanggil immunoglobulin untuk melawan penyakit dan menguatkan sistem ketahanan bayi selain mudah dihadam.

Penyusuan susu ibu mengandungi banyak kelebihan. Ia merupakan salah satu komponen utama dalam pendidikan awal seorang anak. Peranan mendidik anak melalui penyusuan adalah anugerah kepada anda sebagai wanita.

Allah SWT telah memilih anda atas sifat keibuan yang ada dalam diri.  Setiap bayi yang baharu lahir, dikurniakan naluri untuk menyusu. Para Nabi dan Rasul juga disusui oleh ibu-ibu mereka, sama ada ibu yang melahirkan, atau ibu susuan.

Nabi Muhammad SAW juga disusui oleh ibu Baginda Siti Aminah r.a dan kemudiannya disusui oleh Halimah As-Sa’diyyah r.a.  Begitu juga Nabi Musa a.s yang dihanyutkan ke Sungai Nil setelah disusui oleh ibunya, dan kemudiannya ditemukan semula oleh Allah SWT dengan ibunya.

Kisah ini telah diceritakan di dalam al-Quran yang bermaksud:

“Dan kami ilhamkan kepada ibu Musa: susukan ia dan apabila kamu khuatir terhadapnya, maka jatuhkan ia ke dalam sungai (Nil) janganlah kamu khuatir dan janganlah pula kamu bersedih hati kerana sesungguhnya kami akan mengembalikannya kepadamu dan menjadikannya (salah seorang ) daripada para Rasul.”

(Surah al-Qasas, ayat 7)

Kelebihan susu ibu sangat banyak.  Nutrien di dalamnya boleh melindungi bayi daripada jangkitan seperti cirit birit, selsema, bronchitis dan radang paru-paru.  Membantu masalah alahan seperti asma, ekzema dan kolik bayi, perkembangan otak dan meningkatkan kecerdikan anak.

Kebaikan daripada penyusuan bayi

Susu ibu tidak mudah tercemar, memberi keselesaan dan keselamatan emosi kepada bayi dan peluang berinteraksi dan meningkatkan hubungan kasih sayang ibu dan anak. Penyusuan bayi boleh membantu anda mengecutkan rahim dan mengembalikan pada saiz asal dengan cepat dan mengurangkan pendarahan selepas bersalin.

Ia berfungsi membakar kalori dan mengembalikan bentuk badan asal dengan kadar yang cepat.  Anda juga terhindar daripada risiko kanser payudara dan ovari selain dapat menjarakkan kelahiran jika dilakukan penyusuan ibu sepenuhnya selama dua tahun.

Lain-lain kebaikan daripada penyusuan susu ibu ialah perbelanjaan dan bekalan susu sentiasa ada dan tidak terputus. Ia juga baik untuk persekitaran kerana tidak memerlukan botol, tin dan kotak-kotak.

Bagi anda yang pertama kali menyusukan bayi, dapatkan maklumat daripada kumpulan sokongan penyusuan susu ibu dari klinik kesihatan atau hospital kerajaan berhampiran. Banyak membaca berkaitan penyusuan susu ibu atau menghadiri kelas-kelas antenatal bersama suami.

Buat perancangan rapi. Dapatkan pembantu untuk melakukan kerja-kerja rumah bagi beberapa minggu selepas melahirkan bayi. Ini dapat membantu anda mendapatkan rehat secukupnya dan memberi perhatian kepada penjagaan bayi.

Firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud:

“Para ibu hendaklah menyusui anak-anaknya selama dua tahun penuh, iaitu bagi yang ingin menyempurnakan penyusuan.”

(Surah al-Baqarah, ayat 233)

Enjoy Ali Huda! Exclusive for your kids.