Susu – minuman kegemaran Nabi Muhammad SAW

Makanan Md Wa'iz 30-Sep-2020
dreamstime_s_39599501
Susu minuman kegemaran Nabi Muhammad SAW © Hongqi Zhang (aka Michael Zhang) | Dreamstime.com

Susu merupakan salah satu daripada minuman yang amat digemari Nabi Muhammad SAW. Oleh sebab itu, susu dianggap sebagai salah satu daripada minuman sunah yang sangat dianjurkan untuk diminum. Terdapat pelbagai manfaat yang boleh diperoleh daripada minuman susu ini, antaranya ialah:

Kaya vitamin dan mineral

Susu adalah antara minuman yang terbaik disebabkan komposisi pelbagai vitamin yang dimilikinya. Jika anda meminum susu, anda akan memperoleh beberapa vitamin dan mineral penting seperti kalium, vitamin B12, kalsium dan juga vitamin D. Jenis-jenis vitamin dan mineral ini amat kurang diperoleh daripada jenis sumber makanan lain.

Susu juga turut mengandungi kandungan asid lemak omega 3 yang boleh membantu mengurangkan risiko penyakit diabetes dan juga penyakit jantung.

Susu daripada lembu yang memakan rumput mempunyai kandungan asid lemak omega 3 yang lebih tinggi berbanding susu daripada lembu yang memakan selain rumput. Selain itu juga, susu daripada lembu pemakan rumput turut mempunyai kandungan antioksidan yang lebih tinggi.

Susu bantu kuatkan tulang, elak kerapuhan 

Dalam pelbagai iklan susu di televisyen, ia sering diwar-warkan sebagai minuman yang sangat baik untuk kesihatan tulang. Hal ini amat tepat kerana susu mengandungi kandungan nutrien yang berperanan menguatkan struktur tulang seperti kalsium, kalium, fosforus, protein dan juga vitamin K2.

Tahukah anda, 99% daripada kalsium tubuh anda sebenarnya disimpan pada tulang dan juga gigi anda. Kajian ada menyatakan bahawa mereka yang meminum susu akan kurang berisiko untuk mengalami penyakit kerapuhan tulang (osteoporosis) atau tulang patah.

Penyakit kerapuhan tulang dan tulang patah kerap berlaku dalam kalangan mereka yang telah berusia. Oleh itu, dengan meminum susu, ia dapat mengurangkan risiko datuk dan nenek anda untuk mengalami penyakit ini.

Sumber protein yang sangat berkualiti

Protein adalah sangat penting untuk keperluan tubuh manusia. Ini kerana, ia memainkan peranan yang sangat signifikan dalam proses tumbesaran dan perkembangan manusia selain memperbaiki sel tubuh yang telah rosak.

Terdapat dua jenis protein yang ada dalam kandungan susu iaitu kasein dan juga whey. Kedua-dua jenis protein ini dikategorikan sebagai jenis protein yang berkualiti tinggi.

Kajian ada menyatakan, jika anda minum susu setelah melakukan senaman, ia boleh membantu mengurangkan kerosakan otot, menggalakkan pembaikian otot dan meningkatkan kekuatannya.

Minuman terbaik sepanjang zaman

Berpandukan kepada nilai nutrisi dan juga fungsinya terhadap tubuh, tidak dinafikan lagi bahawa minuman kegemaran Nabi Muhammad SAW ini adalah minuman terbaik sepanjang zaman.

Ia bukan hanya menguatkan tulang, tetapi juga boleh membantu mengurangkan tekanan darah tinggi. Oleh itu, banyakkanlah meminum susu setiap hari dalam setiap hidangan anda.