Susu, minuman penuh khasiat – digemari Rasulullah SAW

Makanan Sihat 10 Apr 2021 Hannan
Hannan
Susu, minuman penuh khasiat - digemari Rasulullah SAW
Susu, minuman penuh khasiat - digemari Rasulullah SAW © Valentyn75 | Dreamstime.com

Susu merupakan minuman yang mempunyai banyak khasiat yang tersendiri. Ia bukan sahaja digemari ramai, susu juga merupakan salah satu minuman kegemaran Rasulullah SAW.

Sejak kecil, kita dihidangkan dengan pelbagai makanan yang berasaskan susu. Malah, di kaca televisyen juga, kita kerap melihat iklan yang menggalakkan orang ramai untuk minum susu dengan mencukupi.

Walau bagaimanapun, apakah khasiat sebenar yang terkandung di dalam secawan susu? Benarkah ia mempunyai kebaikan seperti yang dicanang-canangkan? Jika anda ingin tahu dengan lebih lanjut, mari ikuti kupasan kami di bawah.

Susu minuman penuh khasiat

Minum susu merupakan cara yang termudah untuk anda mendapatkan sembilan nutrisi utama seperti fosforus, vitamin B12, kalsium, magnesium, vitamin A, vitamin D, riboflavin, niasin, dan protein.

Walau bagaimanapun, disebabkan lambakan susu di pasaran, mungkin sukar untuk kita memilih susu yang terbaik untuk diminum setiap hari. Selain susu lembu, ada juga susu lain seperti susu soya, susu almond dan yang terbaharu, susu oat memenuhi rak di pasar raya.

Tidak kiralah apa jua susu yang anda gemari, semuanya mempunyai kebaikan dan khasiatnya yang tersendiri. Malah, susu juga mungkin mempunyai kelebihan tambahan terutamanya untuk kaum Hawa!

1. Khasiat susu untuk kulit

Tahukah anda, Cleopatra dahulu mandi susu untuk memastikan kulitnya sentiasa cantik dan glowing? Pilihan Cleopatra ini bukanlah sesuatu yang menghairankan kerana susu mempunyai pelbagai nutrisi yang boleh mengekalkan kesihatan kulit.

Walau bagaimanapun, keterlaluanlah jika kita juga mandi dengan susu seperti permaisuri zaman dahulu. Cukuplah sekadar minum sekurang-kurangnya dua gelas susu setiap hari untuk mendapatkan faedah yang sama.

2. Baik untuk kesihatan tulang

Salah satu khasiat susu yang diketahui ramai ialah manfaatnya terhadap tulang. Untuk pengetahuan anda, produk tenusu merupakan salah satu sumber terbaik kalsium.

Walaupun makanan lain seperti brokoli, bok choy, ikan sardin, buah oren dan sebagainya turut mempunyai kandungan kalsiumnya yang tersendiri, kandungan kalsium di dalam semua makanan ini tidak setanding dengan susu.

Bagi kanak-kanak, susu amat baik untuk tumbesaran mereka. Untuk orang dewasa pula, susu boleh mengurangkan risiko osteoporosis pada masa akan datang.

3. Membantu memulihkan otot

Susu bukan sahaja baik untuk kesihatan tulang, ia juga mengandungi nutrisi penting yang dapat membantu memulihkan otot.

Menurut sebuah kajian pada tahun 2019 yang dimuatkan di dalam European Journal of Sport Science, susu dapat membantu untuk memulihkan otot, menggantikan cecair yang hilang dan mengelakkan sakit-sakit badan selepas senaman.

4. Bantu untuk tidur lebih lena

Minum susu suam sebelum tidur merupakan amalan yang baik untuk tidur lebih lena. Susu mempunyai sejenis asid amino yang dikenali dengan nama triptofan.

Triptofan boleh membuatkan kita rasa seronok dan gembira. Ia juga mungkin bertanggungjawab untuk membuatkan kita tidur dengan lebih lena.

5. Khasiat susu dalam menurunkan berat badan

Jika anda sedang mencari snek yang bagus ketika berdiet, susu merupakan antara pilihan yang terbaik. Malah, susu didapati boleh mengurangkan selera makan dan membuatkan anda kenyang dengan lebih lama.

Walau bagaimanapun, susu mempunyai kalori yang lebih tinggi jika dibandingkan dengan minuman lain. Namun, khasiat yang terkandung di dalam susu dapat membantu anda mencapai keperluan nutrisi anda setiap hari di samping mengelakkan penambahan berat badan.

Susu merupakan minuman yang amat berkhasiat kepada manusia. Malah, terdapat banyak riwayat yang menunjukkan bahawa Rasulullah SAW juga gemar minum susu.

Sunnah untuk anda mencampurkan susu dengan sedikit air ketika minum. Malah, Nabi Muhammad SAW juga membaca doa sebelum minum susu dan berkumur-kumur selepasnya.