Syafaat Rasulullah SAW pada hari kiamat

Agama Chan Abdullah 07-Mei-2020
Memohon syafaat Rasulullah SAW © Pop Nukoonrat | Dreamstime.com

Setiap insan berkeinginan untuk masuk ke syurga Allah SWT. Tiada siapa pun yang ingin masuk ke neraka. Walaupun begitu, Allah telah menjadikan syurga dan neraka itu agar manusia beriman kepada Allah. Sebagai manusia, kita haruslah melakukan amalan yang baik dan tidak melanggar perintah-Nya.

Namun sebagai hamba Yang Maha Kuasa, kita tak pernah terlepas daripada melakukan dosa dan maksiat. Selain amalan baik yang dilakukan, keampunan Allah SWT dan syafaat daripada Nabi Muhammad SAW yang kita harapkan untuk membantu kita masuk ke syurga Allah.

Nabi Muhammad SAW mempunyai syafaat khusus yang merupakan syafaat terbesar pada hari kiamat nanti. Antara kelebihan Baginda ialah:

  • Pemilik al-wasilah iaitu setinggi-tinggi darjat di dalam syurga.
  • Memiliki syafa’ah al-‘uzma. Syafaat teragung di sisi Allah SWT yang akan digunakan untuk memulakan proses pengadilan terhadap setiap makhluk.
  • Umat Nabi Muhammad SAW adalah umat manusia yang paling awal akan dihisab di Padang Mahsyar. Umat Baginda juga akan menjadi umat pertama yang melalui titian Sirat.
  • Insan pertama yang akan memberi syafaat sebelum masuk syurga kelak. Bahkan golongan mukmin juga tidak akan masuk syurga melainkan mendapat syafaat daripada Nabi.
  • Nabi dan umatnya akan menjadi kumpulan pertama yang memasuki syurga dengan mendahului umat nabi-nabi yang terdahulu. Perkara ini ada diriwayatkan di dalam hadis yang bermaksud: “Aku adalah manusia yang paling banyak pengikut pada hari kiamat kelak. Malah akulah orang pertama yang akan mengetuk pintu syurga.” (Hadis riwayat Muslim)

Empat syafaat Nabi Muhammad SAW:

  • Syafaat umum bagi seluruh umat manusia
  • Memasukkan manusia ke dalam syurga tanpa dihisab terlebih dahulu
  • Mengeluarkan umatnya yang berdosa daripada memasuki neraka
  • Meninggikan darjat penghuni syurga

Abu Hurairah bertanya kepada Rasulullah SAW: “Siapakah orang yang paling gembira apabila mendapat syafaat daripada kamu pada Hari Kiamat kelak, ya Rasulullah? Baginda menjawab: Wahai Abu Hurairah, aku fikir bahawa tidak ada seorang pun yang akan bertanya kepadaku soalan ini, orang yang paling gembira adalah mereka yang mengucapkan Laila illallah Muhammadur Rasulullah dengan tulus ikhlas daripada hatinya dan berusaha menjauhkan apa yang dilarang oleh Allah SWT.”

Sebagai umat Nabi Muhammad SAW, kita seharusnya yakin bahawa wujudnya syafaat daripada Nabi di Padang Mahsyar kelak. Seharusnya, kita sebagai seorang muslim hendaklah beriman kepada Allah SWT dan Rasul dengan sebenar-benarnya. Semoga kita menjadi salah seorang insan terpilih untuk mendapat syafaat Rasulullah SAW dan syurga Allah SWT.