Buletin SalamWebToday
Sign up to get weekly SalamWebToday articles!
Maafkan kami, ralat berlaku disebabkan oleh:
Dengan melanggan, anda bersetuju dengan Syarat dan Dasar Privasi SalamWeb
 Seni Buletin

Syarat taubat kita diterima

Islam untuk Pemula 26 Jan 2021
Terkini oleh Hanita Hassan
Syarat taubat kita diterima
Syarat taubat kita diterima © Saiyood Srikamon | Dreamstime.com

Sesungguhnya rahmat Allah SWT kepada manusia adalah tidak terbatas dan melimpah ruah. Di Hari Pembalasan kelak, Allah bersedia mengampuni dosa-dosa hamba-Nya.

Allah SWT akan memasukkan kita ke taman-taman Syurga dengan syarat kita menunjukkan amalan taubat kepada-Nya setelah melanggar larangan-Nya.

Syarat  taubat diterima

Daripada Anas bin Malik r.a bahawa dia mendengar Rasulullah SAW bersabda, bahawa Allah SWT berfirman yang maksudnya:

“Wahai anak Adam, selagi engkau meminta dan berharap kepada-Ku maka Aku mengampuni segala dosamu yang telah lalu. Dan Aku tidak akan mempedulikannya. Wahai anak Adam, jika dosamu sampai setinggi langit lalu engkau minta ampun kepada-Ku nescaya Ku-ampuni. Wahai anak Adam, jika engkau datang kepada-Ku dengan kesalahan seluas permukaan bumi lalu engkau menemui-Ku tanpa menyekutukan sesuatu pun dengan-Ku, nescaya Aku datang padamu dengan ampunan seluas bumi pula.”

(Hadis riwayat at-Tirmidzi, 3534 dan al-Baghawi dalam Syarhus Sunnah)

Betapa manis kata-kata itu, betapa hebatnya kata-kata itu yang menguasai hati kita! Apakah terdapat suatu perkataan yang lebih manis daripada mendengar Allah SWT sendiri berfirman kepada kita: datanglah ke surga-Ku, maka dosa-dosamu akan diampuni?

Janji pengampunan setelah bertaubat adalah harapan yang tidak pernah putus bagi umat Islam, perjuangan untuk meneruskan, memperbaiki kesalahan yang kita lakukan, dan untuk menuju jalan orang-orang yang beriman. Allah SWT berjanji untuk menerima taubat kita, namun terdapat beberapa syarat yang harus dipenuhi.

Syarat yang paling penting ialah sentiasa beriman kepada Allah SWT. Terdapat dua keadaan di mana manusia dilarang masuk ke dalam Syurga selamanya. Mereka yang melakukan dosa yang paling dimurkai oleh Allah kerana tidak meletakkan kepercayaan kepada-Nya (kufur) dan mempercayai tuhan-tuhan lain selain daripada-Nya (syirik).

Kedua-duanya adalah dosa yang paling besar. Sekiranya anda melakukan salah satu daripada dosa besar ini maka tidak ada gunanya anda berusaha dan memohon taubat kepada Allah SWT – kerana pintu taubat anda tertutup tanpa pengampunan daripada-Nya.

Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang

Setelah anda memperteguh dan memperkuatkan iman serta bersedia sujud di hadapan Allah SWT Yang Maha Agung dengan penyesalan yang mendalam dan hati  penuh keinsafan, maka anda boleh mempertimbang syarat-syarat lain agar taubat  diterima.

1. Jangan menangguhkan taubat di kemudian hari, bertaubatlah sekarang, ingatlah bahawa kita hanya dapat melakukan taubat dalam kehidupan ini sahaja, kerana tidak ada taubat selepas kematian. Kita tidak tahu apakah takdir kita, kita tidak mengetahui bila Allah SWT tetapkan tarikh kematian kita. Jangan tangguh taubat kerana kematian tanpa bertaubat adalah nasib yang paling buruk. Maka, janganlah bertaubat esok. Bahkan bukan malam ini, tetapi bertaubatlah sekarang;

2. Orang yang bertaubat hendaklah mempunyai penyesalan sepenuhnya dalam hati. Bertaubat bukan sekadar melakukan dengan bersahaja, jika anda tidak merasa insaf akan perbuatan anda, taubat anda tidak akan diterima kerana anda tidak melakukannya dengan sepenuh hati, maka Allah SWT menganggap perbuatan itu adalah perbuatan yang sangat hina;

3. Bertaubat bermaksud berhenti dari berlanjutan melakukan dosa yang dilarang. Sekiranya anda bertaubat dan masih lagi melakukan perbuatan tersebut, maka nilai taubat anda akan direndahkan di sisi Allah SWT;

4. Anda hendaklah mempunyai tekad yang tegas untuk tidak melakukan perkara yang sama berulang lagi. Kita adalah manusia yang lemah, dan akan kembali melakukan dosa kerana kelemahannya, tetapi tekadnya untuk mengambil jalan kebenaran adalah perisai dalam melawan kejahatan. Sekiranya tekadnya kuat, maka dia akan dihitung oleh Allah SWT Yang Maha Esa dan itu akan menjadi jalan anda untuk bertaubat.

Segala puji bagi Allah Pencipta Langit dan Bumi yang telah memberi kita kesempatan untuk diampuni pada hari kiamat. Kuncinya adalah bertaubat. Allah SWT berfirman dalam al-Quran yang maksudnya:

“Maka mengapa mereka tidak bertaubat kepada Allah dan memohon ampun kepada-Nya? Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

(Surah al-Maaidah, ayat 74)