Syawal juga bulan ibadah, lihat cara Rasulullah SAW menyambut Hari Raya

Acara Siti Nur Baiin Che Harun
Pilihan oleh Siti Nur Baiin Che Harun
Syawal juga bulan ibadah, lihat cara Rasulullah SAW menyambut Hari Raya
Syawal juga bulan ibadah, lihat cara Rasulullah SAW menyambut Hari Raya © Ismaelhma | Dreamstime.com

Setelah berakhir bulan ibadah di madrasah Ramadan, muncul Syawal yang dinanti semua umat Islam sedunia. Alhamdulillah, muslim serata dunia telah merayakan hari kemenangan pada hari pertama Syawal. Namun, Syawal juga bulan ibadah.

Dalam artikel ini, kita lihat kembali amalan-amalan sunnah Rasulullah SAW di hari pertama Syawal.

Syawal juga bulan ibadah

Daripada hadis riwayat at-Tirmidzi dan Abu Dawud, Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud:

“Puasa itu adalah hari kalian berpuasa dan Aidilfitri adalah hari kalian berbuka…” 

Hadis ini jelas menunjukkan bahawa kita dilarang untuk berpuasa pada 1 Syawal. Syawal mesti diraikan untuk menyambut hari kemenangan seluruh umat Islam dalam menzahirkan perasaan syukur dan gembira kerana berjaya menghabiskan puasa satu bulan di bulan Ramadan.

Ia sekaligus mengingatkan kita kepada nikmat kegembiraan yang Allah SWT kurniaan kepada kita umat Islam. Allah berfirman yang bermaksud:

“Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya, dan supaya kamu bersyukur.”

(Surah al-Baqarah, ayat 185)

Setelah sebulan berpuasa, umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri. Dalam apa pun cara dan adat yang kita lakukan, mengikut Sunnah Rasulullah SAW adalah yang jalan kehidupan yang paling terbaik.

Jadikan sunnah Nabi Muhammad SAW sebagai cara hidup seharian supaya beroleh lebih keberkatan.

Amalan sunat pada Hari Raya Aidilfitri

Memulakan hari pertama Syawal – mandi dan berpakaian

Antara amalan sunat hari raya ialah mandi sunat Aidilfitri, makan sebelum menunaikan solat sunat Aidilfitri, dan berjalan kaki ke masjid dan menggunakan laluan yang berbeza semasa pergi dan balik.

Amalan seterusnya adalah memakai pakaian yang bersih dan indah, memperbanyakkan takbir dan zikir dan tahmid. Ziarah menziarahi sesama saudara dan mengerjakan puasa sunat enam hari dalam bulan Syawal juga termasuk amalan sunat di bulan Syawal.

Bermula dari pagi hari raya, amalan sunat yang perlu kita lakukan adalah disunatkan untuk mandi sunat hari Raya Aidilfitri. Cara mandi adalah dengan melakukan mandi seperti biasanya.

Niat mandi sunat Hari Raya Aidilfitri adalah “Sahaja aku mandi sunat Aidilfitri kerana Allah Taala”.

Makan sebelum solat, perjalanan ke masjid

Selain itu, Rasulullah SAW akan menjamah dahulu sedikit makanan atau juadah sebelum pergi ke masjid menunaikan solat sunat Aidilfitri.

Dari Anas bin Malik r.a yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari menyebut:

“Rasulullah S.A.W. tidak keluar pada Aidilfitri sehinggalah Baginda memakan beberapa tamar, baginda memakannya dengan bilangan ganjil.”

(Hadis riwayat Bukhari)

Seterusnya, disunatkan untuk menggunakan laluan yang berbeza ke masjid. Kita juga dianjurkan untuk berjalan kaki ke masjid.

“Termasuk sunnah iaitu engkau berjalan kaki menuju tempat solat hari raya dan makan sesuatu sebelum berangkat.”

Ini sangat bagus untuk memberi contoh dan ajarkan sunnah Rasulullah SAW kepada anak-anak kecil.

Daripada Jabin bin Abdullah, katanya:

“Rasulullah SAW apabila hari raya, Baginda melalui jalan berlainan.”

(Hadis riwayat al-Bukhari, sahih)

Tujuan Rasulullah SAW menggunakan jalan yang berbeza adalah untuk bertemu dengan orang yang berlainan. Supaya dapat menjaga hubungan dan silaturrahim sesama manusia.

Ini juga bertepatan dengan hadis Nabi Muhammad SAW:

“Barangsiapa yang suka untuk diperluaskan baginya rezekinya, dan ditangguhkan (dipanjang) umurnya, maka hendaklah dia menyambung (mengukuh) hubungan persaudaraannya”

(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Wanita solat Aidilfitri dan ucapan khas Syawal

Terdapat persoalan adakah wanita dibolehkan untuk ke masjid menunaikan solat sunat Aidilfitri? Ini bertepatan dengan riwayat daripada Ummi ‘Atiyah r.a bahawa Rasulullah SAW memerintahkan kaum wanita sama ada yang kecil atau dewasa keluar menunaikan solat Aidilfitri semasa dua musim perayaan.

“Rasulullah keluar bersama-sama ahli keluarga baginda semasa hari raya.”

(Hadis riwayat Ibnu Majah dan al-Baihaqi)

Ucaplah “Taqabbalallahu minna wa minkum” antara satu sama lain yang bermaksud: Semoga Allah menerima amalan (amalan dan ibadat di Ramadan) kami dan kamu.

Terdapat banyak amalan sunat yang boleh dipaktikkan sejajar dengan Sunnah Rasulullah SAW. Teruskan berbuat kebaikan dan kekalkan momentum ibadah dalam menghayati sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Semoga kita bertemu lagi Ramadan pada tahun hadapan.

Taqabbalallahu minna wa minkum!

Enjoy Ali Huda! Exclusive for your kids.