Syeikh Abdallah bin Bayyah, ulama fiqah yang promosikan keamanan dunia

Afrika Md Wa'iz
Pilihan oleh Md Wa'iz
Syeikh Abdallah bin Bayyah, ulama fiqah yang promosikan keamanan dunia
Syeikh Abdallah bin Bayyah, ulama fiqah yang promosikan keamanan dunia © world.wng.org

Mungkin ada yang sudah mengenali Syeikh Abdallah bin Bayyah, namun ada juga yang kurang mengenali susuk tubuh ini. Beliau adalah salah seorang ulama terkenal dan berpengaruh dalam dunia Islam.

Ini sedikit sebanyak kisah kehebatan ulama terkenal ini.

Syeikh Abdallah bin Bayyah: kehidupan awal  

Syeikh Abdallah telah dilahirkan pada tahun 1935 di negara Mauritania. Bapa beliau, Syeikh Mahfoudh bin Bayyah adalah salah seorang ulama terkenal di rantau tersebut.

Selain itu, bapanya juga adalah ketua bagi Persidangan Ulama Mauritania yang ditubuhkan sejurus selepas Mauritania mencapai kemerdekaan.

Syeikh Abdallah telah menuntut ilmu di sebuah pusat pendidikan yang dikenali sebagai Mahadhir. Di Mahadhir ini, beliau telah banyak menuntut ilmu-ilmu sains Islam seperti ilmu fekah, teori undang-undang, sintaksis, bahasa, retorik, penafsiran al-Quran dan sains tambahannya, serta ilmu hadis.

Selepas tamat persekolahannya di Mahadhir, beliau kemudiannya menyambung pengajian dalam bidang undang-undang di Tunisia. Beliau juga telah berlatih dalam kamar mahkamah Tunisia pada tahun 1961.

Mahir dalam empat mazhab, aktivis keamanan dunia

Syeikh Abdallah amat terkenal dalam keilmuannya berkenaan usul fiqah iaitu prinsip-prinsip fiqah Islam. Beliau juga sangat berpengetahuan dalam isu fiqah empat mazhab yang utama iaitu Mazhab Syafie, Hanbali, Hanafi dan Maliki.

Namun, beliau sendiri adalah seorang yang berpegang kepada Mazhab Maliki. Ulama-ulama mazhab yang lain sangat menghormati keilmuan beliau. Walaupun beliau dikenali sebagai ulama fiqah, namun beliau juga adalah seorang aktivis yang mempromosikan keamanan dunia.

Beliau pernah mengetuai sekitar 250 pemimpin Islam dan 50 pemimpin agama lain untuk menandatangani Deklarasi Marrakesh dalam usaha menentang aktiviti keganasan yang dilakukan terhadap golongan minoriti serta masyarakat Islam keseluruhan.

Pada tahun 2013, beliau pernah menyuarakan seruan untuk melindungi pelarian perang dari Syria dan orang-orang Rohingya di Myanmar. Beliau juga berada di tempat ke-14 dalam senarai The World’s 500 Most Influential Muslims 2021 disebabkan kekuatan pengaruhnya dalam dunia Islam.

Jawatan yang pernah disandang oleh Syeikh Abdallah

Pada masa kini, beliau adalah seorang pensyarah yang berkhidmat di King Abdulaziz University, Arab Saudi. Selain itu, beliau juga pernah menjawat jawatan sebagai Timbalan Ketua, Kesatuan Ulama Sedunia.

Selain itu juga, antara jawatan lain yang pernah dipegang oleh beliau adalah:

  • Hakim di Mahkamah Tinggi Republik Islam Mauritania
  • Ketua Hal Ehwal Syariah di Kementerian Kehakiman Mauritania
  • Presiden, Forum untuk Keamanan dalam Masyarakat Muslim, Abu Dhabi
  • Moderator Bersama dan Ahli Jawatankuasa Eksekutif Religions for Peace, New York
  • Pengarah Pusat Pembaharuan & Bimbingan Global, UK
  • Ahli The Royal Aal al-Bayt Institute for Islamic Thought, Jordan
  • Anggota Majlis Tertinggi Antarabangsa Masjid, Liga Muslim
  • Anggota Pertubuhan Bantuan Antarabangsa Kuwait

Syeikh Abdallah bin Bayyah amat dikenali dengan karakternya sebagai seorang yang bersederhana. Oleh kerana itu, beliau sangat dihormati oleh pelbagai pihak termasuklah mereka yang bukan Islam.

Peranannya dalam mempromosikan keamanan dan menolak keganasan menjadikannya sering dijemput dalam forum perbincangan antara agama dan masyarakat di peringkat antarabangsa.