Buletin SalamWebToday
Sign up to get weekly SalamWebToday articles!
Maafkan kami, ralat berlaku disebabkan oleh:
Dengan melanggan, anda bersetuju dengan Syarat dan Dasar Privasi SalamWeb
 Seni Buletin

Syeikh Ali Jum’ah, mantan Mufti Besar Mesir di bawah tiga presiden

Terkenal 09 Feb 2021
Md Wa'iz
Syeikh Ali Jum’ah, mantan Mufti Besar Mesir di bawah tiga presiden
Syeikh Ali Jum’ah, mantan Mufti Besar Mesir di bawah tiga presiden © Public Domain, Link

Syeikh Ali Jum’ah (Ali Gomaa) merupakan salah seorang Mufti Negara Mesir yang terkenal dan telah berkhidmat di bawah pentadbiran tiga orang Presiden Mesir.

Berikut adalah sedikit latar belakang yang mungkin anda berminat untuk tahu mengenai Syeikh Ali Jum’ah.

Latar belakang pendidikan Syeikh Ali Jum’ah

Beliau mendapat Ijazah Sarjana Muda Perdagangan dari Universiti Ain Shams, Mesir pada tahun 1973. Ketika beliau masih menuntut di Universiti Ain Shams, beliau juga banyak menghabiskan masa mempelajari ilmu agama Islam jika mempunyai masa yang terluang.

Selepas tamat pengajian di Universiti Ain Shams, beliau mendaftarkan diri sekali lagi ke dalam program Ijazah Sarjana Muda, tetapi kali ini di Universiti Al-Azhar, Mesir.

Beliau menyambung pengajian Ijazah Sarjana dan Ijazah Kedoktoran juga di Universiti Al-Azhar. Beliau mendapatkan Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Usul Fiqah pada tahun 1988.

Mula mengajar di Universiti Al-Azhar

Syeikh Ali Jum’ah memulakan kariernya sebagai seorang pensyarah di Fakulti Pengajian Islam & Bahasa Arab di Universiti Al-Azhar. Beliau banyak mengajar subjek-subjek seperti Sejarah Islam, Akidah, Tafsir dan juga Hadis.

Selain itu, beliau juga adalah seorang guru Sufi yang terkenal. Selain daripada mengajar secara formal di Universiti Al-Azhar, beliau juga membuka kelas-kelas pengajian agama di masjid.

Syeikh Ali Jum’ah ingin mempertahankan tradisi menuntut ilmu melalui kelas-kelas halaqah di masjid seperti yang pernah subur sebelum ini. Beliau mengajar di masjid selama enam hari dalam seminggu dan mengajar daripada selepas waktu Subuh sehinggalah waktu tengahari.

Dilantik sebagai Mufti Besar Mesir

Pada bulan September 2003, beliau telah dilantik oleh Presiden Mesir pada ketika itu, Hosni Mubarak sebagai Mufti Besar Mesir. Pelantikan beliau sebagai Mufti Besar Mesir pada ketika itu adalah bagi menggantikan Mohamed Ahmed El-Tayeb yang telah dilantik sebagai Presiden Universiti Al-Azhar.

Sebagai seorang mufti, beliau bertugas di Dar Al-Ifta’, iaitu sebuah agensi kerajaan yang bertanggungjawab dalam mengeluarkan fatwa-fatwa rasmi berkenaan agama Islam. Pada ketika itu, pejabat Dar Al-Ifta’ telah mengeluarkan hampir 5,000 fatwa seminggu bagi menjawab persoalan orang ramai yang ditanyakan kepadanya.

Syeikh Ali Jum’ah telah berkhidmat sebagai seorang mufti daripada September 2033 hinggalah Februari 2013.

Antara ulama kontemporari yang dihormati

Apabila seseorang itu pernah menjawat jawatan sebagai Mufti Besar Mesir, pandangan atau fatwa yang dikeluarkannya bukan hanya mempengaruhi rakyat Mesir, tetapi seluruh dunia Islam.

Pengaruh sebagai Mufti Besar Mesir sememangnya memberikan peranan yang besar terhadap kehidupan umat Islam. Sejak menjawat jawatan tersebut, Syeikh Ali Jum’ah sememangnya diiktiraf sebagai antara ulama yang dihormati di peringkat antarabangsa.

Syeikh Ali Jum’ah atau Ali Gomaa menjadi rujukan bagi banyak bidang, namun kepakarannya lebih tertumpu kepada bidang Syariah dan juga Usul Fiqah.