Syeikh Daud al-Fatani, ulama pejuang penjajahan Siam ke atas Patani

Asia Md Wa'iz
Md Wa'iz
Jamiah Islam Syeikh Daud al-Fathani (JISDA) © kiblat.net
Jamiah Islam Syeikh Daud al-Fathani (JISDA) di Yala, Thailand © kiblat.net

Di negeri-negeri sebelah utara dan pantai timur Tanah Melayu, kebanyakan perjuangan rakyat menentang penjajahan kuasa asing banyak dipelopori oleh ulama pejuang. Ini termasuklah seorang ulama bernama Syeikh Daud Abdullah al-Fatani.

Apakah kisah menarik mengenai Syeikh Daud Abdullah al-Fatani ini?

Sedikit biodata mengenai Syeikh Daud al-Fatani

Nama sebenar beliau adalah Syeikh Wan Daud bin Syeikh Wan Abdullah. Namun, beliau lebih terkenal dengan nama yang lebih ringkas seperti Tok Syeikh Daud Patani.

Antara gelaran untuk beliau yang terkenal di sisi masyarakat ialah Al-’Alim Al-’Allamah Al-’Arif Rabbani, Syeikh Daud Wali Allah dan Syeikh Daud Keramat.

Beliau merupakan anak kelahiran Kampung Kerisik, di Patani, Thailand. Pendidikan awal beliau bermula di kampung beliau sendiri, di mana beliau dididik oleh bapa dan datuknya.

Kemudian, beliau menyambung pengajiannya di Acheh selama dua tahun dan berangkat ke Tanah Hijaz untuk menyambung ke peringkat yang lebih tinggi. Beliau menetap di Mekah selama 30 tahun dan lima tahun di Kota Madinah.

Mula terlibat dalam politik kerajaan Patani

Setelah kejatuhan Kerajaan Islam Patani, Syeikh Daud al-Fatani telah mula menyuarakan pandangannya melalui kitab-kitab yang dikarangnya. Beliau ada menyentuh mengenai kepimpinan Islam dan kelemahan umat Islam.

Syeikh Daud juga ada menyuarakan berkenaan penjajahan bangsa asing katas orang-orang Islam. Antara pendapatnya yang paling terkenal adalah berkenaan kewajipan mempertahankan tanah air daripada dicerobohi oleh penjajah atau kuasa asing.

Begitu juga dengan kewajipan membebaskan orang-orang Islam yang ditawan penjajah.

Menyahut seruan melawan penjajah

Pada saat Negeri Kedah telah jatuh ke tangan Siam, Mufti Kedah pada ketika itu telah menyeru Syeikh Daud al-Fatani untuk pulang ke tanah airnya bagi melawan Siam. Beliau dan beberapa orang ulama Tanah Melayu telah kembali semula ke tanah air.

Syeikh Daud sendiri telah terlibat dalam beberapa peperangan menentang Siam seperti peperangan yang berlaku di Singgora pada tahun 1832 Masihi.

Berundur ke Terengganu

Apabila tentera Patani dan Kedah dikalahkan oleh Siam, Syeikh Daud terpaksa berundur keluar dari mana-mana wilayah yang telah dikuasai oleh Siam. Bukan hanya beliau yang berundur, tetapi juga beberapa ulama lain bagi menyelamatkan diri mereka.

Syeikh Daud al-Fatani telah berundur ke Negeri Terengganu dan mendapat perlindungan daripada Sultan Terengganu ke-9 iaitu Sultan Baginda Omar. Sehingga ke hari ini, masih ramai kaum kerabat dan ahli keluarga kepad Syeikh Daud menetap di Terengganu.

Meneruskan usaha melawan penjajah dari Tanah Suci

Syeikh Daud kembali semula ke Tanah Suci Mekah setelah berundur ke Terengganu. Ketika di Mekah, beliau tidak berdiam diri dan terus berjuang dari sana. Beliau mendidik dan melahirkan lebih ramai ulama-ulama Melayu yang akan pulang ke tanah air dan meneruskan perjuangan menentang penjajah.

Ulama-ulama baharu ini terus bergabung dengan beberapa ulama lain di beberapa negara lain seperti Indonesia dan juga India bagi membina kesedaran melawan penjajahan kuasa asing ke atas tanah air masing-masing.

Meninggal dunia di Mekah

Beliau melawan penjajah dengan segala kudratnya sehinggalah ke penghujung usia. Beliau dikatakan telah meninggal dunia pada tahun 1847 Masihi dan dikebumikan di bumi Taif.

Kuburnya bersebelahan dengan kubur sepupu Rasulullah SAW, iaitu Saidina Abdullah bin Abbas r.a.