Syeikh Idris al-Marbawi, pengarang kamus Melayu-Arab pertama

Asia 05 Jan 2021 Md Wa'iz
Pilihan oleh Md Wa'iz
Syeikh Idris Al-Marbawi, Pengarang Kamus Melayu-Arab Yang Pertama
Syeikh Idris Al-Marbawi, Pengarang Kamus Melayu-Arab Yang Pertama © facebook.com/Syeikhalmarbawi

Mungkin ada yang pernah mendengar mengenai seorang tokoh bernama Syeikh Idris al-Marbawi. Bagi mereka yang pertama kali mendengar nama ini, perlu diketahui bahawa beliau adalah pengarang kepada kamus Melayu-Arab pertama.

Kami sediakan sedikit maklumat berkenaan beliau dan juga jasanya kepada alam Melayu.

Sosok diri bernama Syeikh Idris al-Marbawi

Nama sebenar beliau ialah Dr. Syeikh Mohamad Idris bin Abdul Rauf al-Marbawi. Perkataan al-Marbawi pada nama beliau sebenarnya merujuk kepada kampung asal keluarganya iaitu Kampung Lubuk Merbau, Kuala Kangsar.

Beliau dilahirkan di sebuah kampung bernama Masfalah di Mekah pada tahun 1896. Dikatakan bahawa beliau telah berjaya menghafal 16 juzuk al-Quran sewaktu umurnya mencapai 10 tahun. Pada umur 10 tahun juga, beliau telah pulang kembali ke Tanah Melayu dan menyambung pengajian di beberapa pusat pendidikan.

Antaranya Sekolah Melayu Lubok Merbau, Pondok Wan Mohammad (Madrasah Idrisiah) dan beberapa pondok lain di sekitar negeri Kedah, Pulau Pinang dan juga Kelantan. Pada tahun 1924, beliau menyambung pelajarannya ke Universiti al-Azhar, Mesir di peringkat ijazah.

Penghasilan Kamus Melayu-Arab al-Marbawi

Antara faktor yang menjadikan Syeikh Idris al-Marbawi begitu terkenal adalah disebabkan jasanya dalam menghasilkan kamus Melayu-Arab pertama pada ketika itu. Kamus ini bernama Kamus Al-Marbawi.

Menurut kajian, penghasilan kamus ini bermula atas gesaan guru beliau ketika melanjutkan pelajarannya di Mesir. Pada peringkat awal, dia mencetak sendiri kamus ini melalui syarikat penerbitannya iaitu Matba’ah al-Marbawiyyah di Kaherah, Mesir.

Ia pertama kali dicetak pada tahun 1925. Kamus beliau ini disusun berpandukan huruf-huruf hija’iyyah dan mempunyai dua bahagian. Bahagian pertama bermula dengan huruf Alif sehingga huruf ‘Ain. manakala bahagian kedua pula bermula dengan huruf Ghain sehinggalah huruf Ya’.

Kamus Al-Marbawi telah diulang cetak sebanyak 24 kali. Selain itu, terdapat juga beberapa kitab lain dalam pelbagai bidang yang dihasilkan oleh beliau antaranya:

  • Kitab Perbendaharaan Ilmu
  • Tafsir Quran Marbawi Surah Yasin
  • Tafsir Surah Yasin Bahasa Melayu
  • Bulugh Al-Maram serta Terjemahan Melayu
  • Bahr Al-Madhi (kitab hadis)

Penerima Ijazah Kehormat Doktor Persuratan UKM

Pada tahun 1980, Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada ketika itu, Tunku Ja’afar ibn al-Marhum Tunku Abdul Rahman telah menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Persuratan kepada beliau.

Ini disebabkan jasanya yang besar dalam bidang keagamaan dan persuratan. Penganugerahan ini menyebabkan beliau mendapat gelaran Dr. pada awal namanya.

Selain itu, beliau juga ada menerima beberapa anugerah lain sepanjang hayatnya iaitu:

  • Tokoh Ma’al Hijrah Kebangsaan 1987
  • Anugerah Pingat Ahli Mahkota Perak (AMP) pada tahun 1988
  • Tokoh Anugerah Penulis Pentas Perak 2004 (15 tahun selepas beliau meninggal dunia)

Kegigihan Syeikh Idris al-Marbawi menghasilkan pelbagai karya ini jelas menunjukkan keinginannya untuk memajukan diri dan bangsanya dalam keilmuan.

Karya-karya terjemahan beliau menampakkan usaha beliau untuk memahamkan orang Melayu Islam dalam mempelajari agama dengan lebih baik. Apa yang telah dilakukan oleh beliau ini patut dicontohi oleh kita semua.