Buletin SalamWebToday
Sign up to get weekly SalamWebToday articles!
Maafkan kami, ralat berlaku disebabkan oleh:
Dengan melanggan, anda bersetuju dengan Syarat dan Dasar Privasi SalamWeb
 Seni Buletin

Syeikh Mutawalli Sya’rawi, pendakwah yang memakai kopiah terbalik

Timur Tengah 05 Feb 2021
Pilihan
Syeikh Mutawalli Sya’rawi, pendakwah yang memakai kopiah terbalik
Syeikh Mutawalli Sya’rawi, pendakwah yang memakai kopiah terbalik © gulfnews.com

Syeikh Mutawalli Sya’rawi merupakan salah seorang tokoh pendakwah paling dikenali di Mesir. Bukan itu sahaja, namanya juga cukup dikenali di seluruh dunia Islam.

Ada satu ciri yang sangat dikenali pada pemakaiannya iaitu kopiah yang dipakai secara terbalik. Mengapa beliau memakai kopiah terbalik?

Kisah kehidupan Syeikh Mutawalli Sya’rawi sewaktu kecil

Syeikh Mutawalli dilahirkan pada 15 April 1911 di perkampungan Dakadous, Ad-Daqahliah, Mesir. Semasa kecil, beliau dikenali sebagai seorang kanak-kanak yang cerdas akalnya.

Beliau telah menghafal keseluruhan Al-Quran sewaktu umurnya 11 tahun. Semasa di sekolah menengah, minatnya terhadap puisi dan kesusateraan Arab mula berkembang.

Ketika dewasa, ayahnya telah memaksanya untuk menyambung pengajian di Universiti Al-Azhar. Namun, Syeikh Mutawalli tidak mahu kerana ingin menetap di kampungnya sahaja dan bekerja sebagai petani seperti ayahnya.

Syeikh Mutawalli membuat satu helah kepada ayahnya agar ayahnya tidak lagi memaksanya pergi ke Universiti Al-Azhar. beliau meminta ayahnya membelikan berjilid-jilid buku yang banyak dan mahal dengan harapan ayahnya tidak berkemampuan membelinya, dan tidak memaksanya ke universiti tersebut.

Namun, tidak disangka, rupanya ayahnya menyedari helahnya itu dan tetap membeli kesemua buku-buku yang dikehendakinya. Syeikh Mutawalli kemudiannya mendaftar masuk ke Universiti Al-Azhar di Fakulti Bahasa Arab. Beliau menamatkan pengajiannya pada tahun 1941.

Jawatan disandang, dikenali sebagai pendakwah

Setelah tamat pengajian di Universiti Al-Azhar, beliau menyambung pengajiannya untuk mendapatkan sijil pengajaran.

Beliau pernah menjawat beberapa jawatan sepanjang hidupnya, antaranya ialah:

  • Profesor Syariah, Universiti Ummul Qura’, Arab Saudi
  • Pengarah Besar Syeikh Al-Azhar
  • Pengurus Pejabat Imam Al-Azhar
  • Profesor di Universiti Raja Abdul Aziz, Arab Saudi

Pada tahun 1976, Perdana Menteri Mesir pada ketika itu telah melantik beliau sebagai Menteri Wakaf Mesir. Pada waktu inilah, beliau telah berjaya dalam proses penubuhan sebuah bank Islam di Mesir iaitu Faisal Islamic Bank. 

Syeikh Mutawalli juga pernah mengacarakan sebuah program dakwah di televisyen pada setiap tengah hari Jumaat. Bermula daripada program ini, nama beliau mula dikenali ramai sehingga dikenali sebagai ‘Pendakwah Abad Ini’.

Beliau sangat dikenali dalam kemahirannya menerangkan maksud bagi setiap ayat Al-Quran.

Ciri kopiah terbalik yang dipakainya

Salah satu ciri amat dikenali pada diri Syeikh Mutawalli ialah kopiah terbalik yang dipakainya. Beliau memakai kopiah dengan bucu yang sepatutnya berada di hadapan dan belakang, dengan memakainya secara melintang.

Ramai yang berasa pelik mengapa Syeikh Mutawalli memakai kopiah sedemikian rupa. Terdapat satu kisah di mana pada satu masa, beliau telah ditawarkan dengan jawatan Mufti Mesir oleh Kerajaan Mesir.

Namanya difitnah oleh golongan pembeci ulama dengan mengatakannya bahawa beliau seorang yang gilakan jawatan tersebut. Apabila beliau mendengar sendiri fitnah tersebut, beliau terus mengangkat kopiahnya dan memakainya secara terbalik. Bermula saat itu hinggalah akhir hidupnya, beginilah cara beliau memakai kopiah .

Beliau melakukan hal sedemikian sebagai lambang bahawa beliau bukanlah seorang yang layak memegang jawatan tersebut. Ia menunjukkan bahawa beliau bukanlah seorang yang berilmu tinggi sehingga tidak pandai memakai kopiah dengan betul.

Kisah pemakaian kopiah terbalik ini menujukkan bahawa beliau seorang yang alim dan merendah diri. Semakin tinggi keilmuan seseorang, semakin cenderung untuk bersifat tawaduk. Semoga pembaca dapat faedah daripada peribadi Syeikh Mutawalli Sya’rawi ini.