Syukur seadanya dan keutamaan menderma

Kehidupan Hanita Hassan 29-Apr-2020
Syukur seadanya © Odua | Dreamstime.com

Seusai maghrib dan ketika mendapat perkhabaran seorang penghantar makanan kemalangan dan meninggal dunia pada malam sebelum Ramadan menjelma, hati terdetik pilu.  Sudah tentu berita ini amat menyedihkan.  Malam pertama Ramadan yang disambut dengan kegembiraan oleh umat Islam, bertukar hiba buat keluarga arwah.

Kisah ini adalah salah satu daripada banyak cerita sedih dan kematian yang berlaku sejak lebih sebulan pandemik wabak koronavirus baru melanda dunia.  Selepas ini kehidupan kita akan berubah sepenuhnya.  Kita lihat bagaimana kesan yang berlaku kepada negara-negara maju seperti United Kingdom dan Amerika Syarikat yang semakin lumpuh serta kesan kepada negara dunia ketiga.

Kita bersyukur kerana dipilih menjadi tetamu Allah SWT untuk berada sekali lagi dalam bulan penuh keberkatan, bulan rahmat dan bulan ketakwaan.  Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Siapa yang tidak bersyukur dengan pemberian yang sedikit, dia juga tidak akan bersyukur dengan pemberian yang banyak. Siapa yang tidak mensyukuri manusia, bererti dia juga tidak mensyukuri Allah. Memperkatakan nikmat Allah adalah tanda syukur, dan mengabaikannya adalah kufur. Berjemaah itu dirahmati, sedangkan berpecah belah itu mengundang azab.”  (hadis riwayat Ahmad, Musnad Ahmad)

Dalam kita bergembira menyambut Ramadan dengan makanan enak di atas meja, ada juga insan-insan lain di luar lingkungan kita yang sedang menderita, hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.  Mungkin dalam kalangan mereka ialah adik-beradik kita yang sudah diberhentikan kerja, jiran tetangga yang hilang tempat bergantung dan sebagainya.

Begitu juga dengan nasib saudara kita di negara yang dilanda peperangan dan bencana alam serta musim sejuk yang melampau.  Bekalan makanan tidak mencukupi bagi memenuhi keperluan harian di khemah-khemah pelarian.  Jikalau dapat nikmat makan sekali sehari sudah cukup disyukuri.

Inilah masanya untuk kita merebut peluang keemasan dengan memberi makan dan menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan. Rasulullah SAW seorang yang dermawan sifatnya dan baginda lebih terserlah apabila tiba bulan Ramadan. Amalan kedermawanan Rasulullah diibaratkan seperti angin yang berhembus, bermaksud baginda amat ringan dalam memberi tanpa banyak berfikir.

Berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas r.a. yang bermaksud: “Rasulullah SAW adalah orang yang paling dermawan dan beliau lebih dermawan lagi di bulan Ramadan saat beliau bertemu Jibril.  Jibril menemuinya setiap malam untuk mengajarkan al-Quran. Dan kedermawanan Rasulullah SAW melebihi angin yang berhembus.” (HR Bukhari: 6)

Sikap memberi kepada yang memerlukan dapat memupuk perasaan kasih sayang sesama insan. Selain beroleh ganjaran pahala yang berlipat ganda, kita juga dapat mengeratkan silaturahim dalam kalangan masyarakat.