Syukuri apa yang kita miliki

Kepercayaan Hanita Hassan 29-Jun-2020
Sentiasa bersyukur menambah kualiti jiwa © motortion | Dreamstime.com

Setiap hari apabila anda celik mata daripada tidur, mulakan hari dengan mengucapkan ‘Alhamdulillah’.  Ini sebagai tanda anda bersyukur kerana masih diberi peluang sehari lagi oleh Yang Maha Pencipta untuk menjalani kehidupan di dunia ini.

Tanpa izin Allah SWT, tidak mungkin anda dapat bangun dan bernafas. Anda boleh makan, bekerja dan melakukan semua perkara dengan izin-Nya.  Anda boleh menggerakkan anggota badan, itu satu nikmat yang harus disyukuri.

“Segala puji tertentu bagi Allah yang memiliki dan menguasai segala yang ada di langit dan yang ada di bumi dan bagi-Nyalah juga segala puji di akhirat dan Dialah sahaja Yang Maha Bijaksana, lagi Maha mendalam pengetahuan-Nya.” (Surah Saba, ayat 1)

Sebagai manusia biasa, kita sering alpa dengan semua nikmat yang dikurniakan Allah SWT ini.  Kita jarang mengucapkan syukur dengan segala apa yang kita miliki.  Kita melihat apa yang ada pada orang lain itu lebih baik daripada apa yang kita ada.

Kita sentiasa melihat rumah besar orang lebih baik daripada rumah kecil kita.  Kereta besar orang lebih baik daripada kereta kecil kita.  Atau motosikal besar orang lebih baik daripada motosikal kapcai kita.

Sesungguhnya ketentuan Allah SWT itu adalah yang terbaik untuk kita walaupun kadang kala kita tidak mampu memahami hikmah di sebaliknya.  Rasulullah SAW sentiasa berpesan kepada sahabat supaya mereka tidak lupa bersyukur kepada Allah.

Kepada Muaz bin Jabal r.a., Rasulullah SAW mengingatkan: “Janganlah kamu lupa untuk berdoa setiap kali selepas solat, Ya Allah bantulah aku agar selalu berzikir kepada-Mu, bersyukur kepada-Mu dan beribadah kepada-Mu dengan sebaik-baiknya.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Secara teorinya mengikut kajian pakar motivasi, sikap kita dalam 10 minit pertama selepas bangkit daripada tidur dikatakan akan menentukan hari kita.  Justeru kita perlu memastikan dalam keadaan positif, tidak kelam kabut atau berserabut setiap kali celik mata di awal pagi.

Kita mulakan hari dengan mengucapkan syukur supaya Allah SWT mencukupkan semua yang kita perlukan sepanjang hari.  Nilai syukur itu bukan terletak kepada berapa banyak yang kita perolehi, tetapi bersyukur dengan apa yang kita ada.

Allah SWT telah berfirman didalam al-Quran yang bermaksud:  “Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu:  Demi sesungguhnya, jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambah nikmat-Ku kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah pedih.”  (Surah Ibrahim, ayat 7)

Mudah-mudahan kita termasuk dalam golongan yang sentiasa mensyukuri apa yang kita ada setiap masa dan keadaan. Kita jangan menunggu sehingga mendapat nikmat yang banyak baharu mengucapkan syukur.  Sebaliknya lakukan dengan apa yang kita ada dan secara berterusan supaya bahagia menyusul setiap saat dalam hidup.

Sesungguhnya semakin banyak kita melafaz rasa syukur, Allah SWT akan menambah nikmat sekali gus menambah baik kualiti jiwa kita.  Sepertimana firman-Nya yang bermaksud:

“Dan Dia telah memberikan kepadamu (keperluanmu) dari segala apa yang kamu mohonkan kepada-Nya.  Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, tidaklah dapat kamu menentukan bilangannya.  Sesungguhnya manusia itu, sangat zalim dan sangat mengingkari (nikmat Allah).”  (Surah Ibrahim, ayat 34)