Tadabbur al-Quran jadikan amalan

Al-Quran Hanita Hassan
Terkini oleh Hanita Hassan
Tadabbur al-Quran jadikan amalan
Tadabbur al-Quran jadikan amalan © Aisyaqilumar | Dreamstime.com

Kitab suci al-Quran adalah pusaka tinggalan Nabi Muhammad SAW yang sangat kita sayangi.  Ia bukan sahaja unik tetapi juga banyak manfaat. Al-Quran diturunkan secara berperingkat-peringkat selama 23 tahun.

Kandungannya mencakupi sejarah silam kehidupan manusia zaman lampau.  Ia juga mengandungi semua aspek kehidupan seperti hubungan kekeluargaan dan hubungan dengan masyarakat, mengenai sains, politik, agama, undang-undang dan politik.  Begitu juga dengan pentadbiran, ekonomi, pengurusan harta, perubatan dan tatatertib (akhlak) serta banyak lagi.

Tadabbur al-Quran jadikan amalan

Sebagai umat Nabi Muhammad SAW, kita sangat beruntung kerana diamanahkan sebuah kitab suci yang penuh mukzijat, kitab serba lengkap dengan panduan dan bimbingan penting untuk kehidupan di dunia ini. Kita dituntut membaca al-Quran.  Kita juga dituntut mentadabbur dan memahami al-Quran. Inilah tujuan utama Allah menurunkan al-Quran, untuk ditadabbur (al-Maliki 2010).

Firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud:

“Al-Quran ini sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu Wahai Muhammad).  Kitab yang banyak faedah  dan manfaatnya, untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayat-ayat-Nya, dan untuk orang-orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar.”

(Surah Saad, ayat 29)

Dari segi bahasa, tadabur adalah memikirkan di sebalik sesuatu akibatnya. Ia adalah hampir maknanya dengan tafakkur. Namun makna tafakkur adalah menggerakkan hati atau memikirkan dalil. [Lihat Ta’lim tadabbur al-Quran al-Karim Asalib Amaliyyah wa Marahil Manhajiyyah (11)].

Ibn Kathir mengatakan tadabbur sebagai memahami makna lafaz-lafaz  serta  berfikir tentang ayat yang  merangkumi  isyarat  peringatan, nasihat sehingga terkesan pada hati seterusnya  mengambil pengajaran dan taat segala perintah-Nya [Lihat Tafsir al-Quran al-Azim (1/8)].

Membaca al-Quran dan bertadabbur setiap hari akan menghidupkan hati.  Apabila kita memiliki jiwa dan hati yang teguh, kita boleh membangunkan spiritual iaitu akal dan hati. Sebagaimana jasad yang memerlukan penjagaan dan makanan untuk sihat dan bertenaga, begitu juga dengan roh yang memerlukan penjagaan dan rawatan agar sentiasa segar dan  positif dalam menjalani kehidupan seharian.

Berusaha memahami kalamullah

Akal dan hati yang jernih memainkan peranan penting untuk merasai keindahan ayat-ayat suci dan pengaruhnya dalam jiwa, serta kehidupan. Hati yang diberi peluang untuk meneliti dan merenung pengajaran dan ibrah yang disampaikan melalui ayat-ayat suci al-Quran pasti meninggalkan kesan dan impak positif terhadap diri dan spiritual kita sebagai pembaca al-Quran.

Sebuah stesen televisyen tempatan, Al-Hijrah Media Corporation (TV AlHijrah) dan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUI) sejak 8 Jun 2020 dalam slot My#QuranTime turut menayangkan program tadabbur al-Quran.  Ia adalah program interaksi 114 surah al-Quran di TV AlHijrah dan platform media digital.

Bersiaran langsung setiap hari selama sejam dengan tiga kali slot ulangan di TV AlHijrah. Sebanyak 604 episod bersamaan 604 muka surat al-Quran selama dua tahun akan disiarkan.

Justeru, rebutlah peluang ini dan marilah berusaha memahami kalamullah.  Semoga al-Quran penolong kita pada hari kiamat kelak sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Bacalah Al-Quran kerana sesungguhnya pada hari kiamat ia datang memberi syafa’at kepada sahabat-sahabatnya (pembacanya).”

(Hadis riwayat Sahih Muslim, 804)