Buletin SalamWebToday
Sign up to get weekly SalamWebToday articles!
Maafkan kami, ralat berlaku disebabkan oleh:
Dengan melanggan, anda bersetuju dengan Syarat dan Dasar Privasi SalamWeb
 Seni Buletin

Tahu malu atau malu tahu?

Keluarga 03 Feb 2021
Pilihan oleh Hagnas
Tahu malu atau malu tahu?
Tahu malu atau malu tahu? © Lenar Nigmatullin | Dreamstime.com

Malu dan tahu kedua-duanya sifat yang baik. Tiada siapa yang tidak setuju bahawa malu ini antara sifat istimewa khususnya bagi wanita, yang memelihara diri mereka dari perkara yang tidak baik lagi memalukan.

Malu bersinonim dengan segan dan canggung. Manakala tahu pula sinonimnya faham dan sedar.

Tahu malu atau malu tahu?

Malu sudah semestinya juga baik untuk lelaki yang dapat menjaga diri mereka dari tindakan yang jahat dan mengaibkan. Maka tidak hairanlah bagi kita semua mengenai ketinggian sifat malu itu yang merupakan salah satu dari cabang iman.

Begitu juga tahu. Dengan tahulah kita dapat ilmu. Dengan rasa ingin tahulah anak-anak seronok bertanya dan belajar untuk mengenal dunia dan kehidupan. Tahu itu sifat agung lagi mulia gang membawa kita dan seluruh generasi manusia kepada ilmu.

Tetapi, wajar kita lihat dua budaya yang berkait dengan dua sifat ini, iaitu tahu malu dan malu tahu.

Tahu malu

‘Tahu malu’ atau tahu bila masanya untuk berasa malu ini perangai terpuji. Untung kita berkawan dengan kawan yang tahu malu. Selamat anak kita jika rakannya dari jenis yang tahu malu. Tenang hati kita jika anak menantu mahupun ahli keluarga kita ini orang-orang yang tahu malu.

Orang yang punya adab dan hormat dan pandai menyesuaikan diri dalam banyak keadaan. Tahu menghormati orang tua juga sebahagian dari tahu malu. Malu melihat diri kita leka berbuat dosa juga sebahagian dari sifat tahu malu yang mulia.

Tahu malu menggabungkan ilmu dan perasaan malu yang mulia sebagai benteng yang melindungi kita dari tindakan yang memalukan, juga sebagai penolak yang menggerakkan diri kita melakukan kebaikan.

Malu tahu

‘Malu tahu’ atau malu untuk mengambil tahu pula lain keadaannya. Sifat ini sebenarnya banyak membawa kemunduran dan kelemahan dalam masyarakat. Sifat malu tahu menyebabkan masyarakat kita ketinggalam dalam bidang ilmu.

Sedangkan ilmulah yang menyelamatkan kita dan semua di dunia mahupun di akhirat sana. Justeru malu tahu ini mesti dijauhi dan dirawati. Tanamkan keyakinan dan keberanian dalam diri kita dan anak-anak untuk terus belajar dan mengetahui ilmu dan perkara baru yang bermanfaat.

Molek sekali dirawat punca gejala malu tahu ini. Tanamkan kembali keyakinan dan kesungguhan dalam diri generasi sekarang untuk menimba ilmu dan menghasilkan kemahiran bermanfaat dengan ilmu.

Sejarah telah menunjukkan bahawa Islam sangat mementingkan ilmu dan melahirkan begitu ramai ilmuwan. Justeru, sudah tentulah malu tahu ini bukannya datang dari Islam. Malah, ia bertentangan dengan seruan Islam yang sebenar untuk menggalakkan umat Islam belajar dan menimba ilmu.