Tahun baru, perjalanan hijrah hidup baru

Kehidupan Abi Aasim 03-Sep-2020
dreamstime_s_186159572
Tahun baru, perjalanan hijrah hidup baru © Songyuth Unkong | Dreamstime.com

Kini kita sudah dalam minggu kedua tahun baru Hijrah. Pada masa ini, adalah baik jika kita dapat muhasabah diri dan menilai kembali arah hidup kita, prinsip dan nilai kehidupan serta amalan kita.

Tidak mustahil panduan hidup sebelum ini sedikit tersasar dari jalan yang diredai Allah SWT, sehingga menyebabkan pelbagai masalah hidup yang menyeksa diri kita. Pada akhir zaman ini, masa menjadi begitu singkat. Rata-rata seisi rumah berperang mengejar waktu. Ibu dan bapa bertungkus lumus bekerja mencari nafkah bagi menampung keperluan harian seisi rumah.

Lebih mencabar dengan kehadiran virus COVID-19 yang menyebabkan ramai insan kehilangan punca pendapatan. Anak-anak pada zaman ini pula terlalu sibuk dengan urusan persekolahan, kerja rumah dan pelajaran. Amat menyedihkan masa yang ada begitu terhad untuk diluangkan bersama keluarga. Walaupun begitu, kehidupan perlu diteruskan dan merungut serta mengeluh tidak akan dapat membantu menyelesaikan masalah.

Firman Allah SWT dalam surah al-An’am ayat 162, maksudnya: “Katakanlah, sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.”

Seharusnya hidup kita di dunia ini haruslah berpaksikan kepada Al-Quran dan Hadis Nabi Muhammad SAW serta disertakan niat yang ikhlas untuk mencari keredaan Allah SWT. Hidup seharusnya digunakan untuk memprolehi kebahagian akhirat. Hidup manusia seperti ini selalu dipenuhi dengan ketenangan dan kebahagiaan Allah.

Namun, kehidupan masa sekarang banyak memaksa manusia untuk kurang memberi tumpuan kepada kehidupan di akhirat kelak. Dari sejak kecil lagi anak-anak sudah dibebankan dengan pelajaran akademik, muzik, sukan dan sebagainya. Ibu bapa terpaksa menghantar anak-anak ke kelas tambahan dan latihan bagi anak-anak menguasai semua perkara ini bagi memudahkan mereka menjejakkan kaki ke menara gading.

Anak-anak diharap dapat memasuki institusi pengajian tinggi yang berprestij agar setelah mendapat segulung ijazah mudah untuk mendapatkan pekerjaan. Tekanan berterusan dari kecil ini membuatkan ada sesetengah anak-anak yang tersalah niat dan matlamat hidupnya. Kini belajar sekadar untuk mendapatkan segulung ijazah dan diterima bekerja bukan lagi untuk menimba ilmu dengan sebenarnya.

Akhirnya arah dan tujuannya juga sudah menjadi kabur alam menuntut ilmu. Kerana sistem yang digunapakai dalam masyarakat dan dunia sekarang, manusia lebih mengagungkan kelayakan dari pencapaian serta kemahiran seseorang. Sebab itu ada yang sanggup menipu dan menggunakan jalan yang salah bagi mendapatkan gelaran dan juga ijazah bagi memudahkan urusan hidupnya. Namun ternyata niat tidak menghalalkan cara.

Seharusnya ilmu yang dipelajari digunakan dengan sebaiknya. Berkata Hasan al-Basri: “Apabila perhatian seorang hamba ditujukan kepada kahirat, maka Allah SWT akan menjaga hajatnya dan mengkayakan hatinya. Dan apabila perhatiannya tertuju hanya kepada dunia, maka Allah akan memperbanyakkan masalahnya dan menjadikan kefakiran di depan matanya. Ia akan bangun pagi dalam keadaan fakir dan masuk ke petang dalam keadaan fakir.” (Riwayat Imam Ahmad dalam kitab al-Zuhd)

Sempena tahun baru Hijrah ini, marilah kita muhasabah kembali niat dan matlamat kita hidup di dunia ini. Apakah matlamat dan tujuan kita? Setiap orang pasti ada jawapan yang berbeza. Terpulang kepada diri, apakah masih mahu meneruskan perjalanan hijrah atau berhenti di tengah jalan?