Taj Mahal Malaysia

Singgah Chan Abdullah 26-Jun-2020
Masjid Sri Sendayan di Negeri Sembilan © Muhammad Fadhli Adnan | Dreamstime.com

Kalau di India ada Taj Mahal, Malaysia juga turut mempunyai ‘Taj Mahal’ yang tersendiri. Masjid Sri Sendayan menjadi perhatian ramai dan menerima kunjungan bertali arus dari orang ramai. Mengambil kesempatan beribadat di masjid yang persis Taj Mahal sebenar ini, orang ramai turut mengambil peluang menikmati keindahan seni bina masjid ini.

Masjid Sri Sendayan ini terletak di Bandar Sri Sendayan, Negeri Sembilan. Masjid ini adalah sumbangan wakaf Tan Sri Abd Rashid Hussain kepada Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) selaku pemegang amanah. Tan Sri Abd Rashid Hussain adalah pengasas syarikat perbankan RHB.

Masjid yang memakan kos pembinaan lebih RM100 juta ini mempunyai kapasiti 5000 orang jemaah pada satu masa. Difahamkan, masjid ini menjadi masjid terbesar di Negeri Sembilan pada masa kini. Masjid ini direka oleh arkitek tempatan, Encik Zailan Yusop.

Senibina masjid ini diilhamkan oleh masjid-masjid dari timur tengah. Seni khat yang ada di masjid ini pula telah ditulis oleh tokoh khat terkenal di dunia iaitu, Sheikh Hassan Celebi. Masjid ini bukan sahaja menjadi tumpuan penduduk setempat, malah ada jemaah yang datang dari Putrajaya dan Melaka untuk menunaikan solat Jumaat di sini.

Masjid ini yang merangkumi Kompleks Pusat Islam turut dilengkapi dengan dua buah dewan solat, dua buah bilik kuliah, perpustakaan, dewan serba guna, bilik pengurusan jenazah dan bangunan pentadbiran. Masjid ini turut  mempunyai pusat anak yatim dengan kapasiti 52 orang.

Jika di sebut Taj Mahal di India, ramai tahu ia adalah lambang cinta Shah Jehan kepada Mumtaz. Namun tahukah anda, di negara kita juga ada monumen cinta yang dibina oleh Datoh Panglima Kinta Mohamed Yusof Lasam buat isterinya. Monumen itu ialah Masjid Panglima Kinta di Kampung Kuchai, Ipoh, Perak.

Masjid ini sudah berusia lebih 120 tahun dan kini diwartakan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 sebagai bangunan warisan oleh Jabatan Warisan Negara (JWN). Masjid yang dibina pada tahun 1898 ini masih teguh berdiri dan kini menjadi salah satu mercu tanda buat bandaraya Ipoh. Oleh kerana kedatangan pelancong asing yang semakin meningkat, pihak masjid mengambil inisiatif menyediakan khidmat pemandu pelancong untuk masjid ini.

Pemandu pelancong yang disediakan fasih bertutur dalam tiga bahasa iaitu Bahasa Melayu, Inggeris dan Mandarin. Khidmat pemandu pelancong di masjid ini disediakan antara jam sembilan pagi hingga enam petang sahaja. Khidmat ini juga direhatkan sebentar ketika waktu solat zohor dan solat asar. Pihak masjid tidak mengenakan sebarang caj bagi khidmat pemandu pelancong ini.

Jika berpeluang marilah singgah ke Taj Mahal Malaysia ini. Bukan satu, tapi ada dua Taj Mahal di Malaysia!