Buletin SalamWebToday
Sign up to get weekly SalamWebToday articles!
Maafkan kami, ralat berlaku disebabkan oleh:
Dengan melanggan, anda bersetuju dengan Syarat dan Dasar Privasi SalamWeb
 Seni Buletin

Tajikistan – negara atas gunung, ‘Isnin’ ibu negaranya?

Asia 20 Jan 2021
Pilihan oleh Md Wa'iz
Tajikistan - negara atas gunung, 'Isnin' ibu negaranya?
Tajikistan - negara atas gunung, 'Isnin' ibu negaranya? (foto: Dushanbe, Tajikistan) © Igor Godynyuk | Dreamstime.com

Tajikistan adalah salah sebuah negara yang terletak di kawasan Asia Tengah. Tahukah anda bahawa maksud bagi nama ibu negara Tajikistan adalah ‘Isnin’?

Menarik bukan! Bukan itu sahaja, berikut disenaraikan beberapa maklumat menarik mengenai Tajikistan.

Majoriti besar penduduknya beragama Islam

Penduduk majoriti di negara ini adalah mereka yang berbangsa Tajik. Sekitar 84.3% daripada keseluruhan penduduk Tajikistan adalah orang-orang Tajik.

Selebihnya adalah orang Uzbek yang merangkumi sekitar 12.2% dan lain-lain bangsa minoriti seperti bangsa Kyrgyz dan juga Rusia.

Majoriti penduduknya juga adalah Muslim. Sekitar 96.7% daripada keseluruhan penduduknya adalah mereka yang beragama Islam, manakala bakinya adalah beragama Kristian dan lain-lain agama.

Tajikistan, negara atas gunung

Mengapa Tajikistan digelar sebagai negara pergunungan? Ini kerana, sebahagian besar daripada muka bumi negara ini adalah kawasan pergunungan. Lebih daripada 90% tanah di Tajikistan adalah kawasan bukit dan gunung.

Untuk pengetahuan anda juga, separuh daripada muka bumi Tajikistan berada lebih 3000 meter daripada paras laut.

Dushanbe, ibu negara yang bermaksud Isnin

Ibu negara Tajikistan dikenali sebagai Dushanbe. Menariknya, perkataan Dushanbe ini sebenarnya membawa maksud ‘Isnin’ dalam bahasa Tajik. Menurut sejarah, bandar Dushanbe pada asalnya hanyalah sebuah perkampungan kecil.

Di perkampungan ini, terdapat sebuah pasar yang sangat terkenal yang hanya diadakan pada hari  Isnin setiap minggu. Disebabkan pasar Isnin ini, perkampungan ini kemudiannya berkembang menjadi sebuah bandar seperti yang dikenali pada hari ini.

Dushanbe juga adalah bandar terbesar di Tajikistan.

Empangan buatan manusia kedua tertinggi di dunia

Tajikistan juga mempunyai sebuah empangan hidroelektrik buatan manusia kedua tertinggi di dunia. Empangan tersebut ialah Empangan Nurek yang mempunyai ketinggian 300 meter.

Pada ketika ini, empangan buatan manusia tertinggi di dunia ialah Empangan Jinping-I yang terletak di China yang memiliki perbezaan hanya 5 meter dengan Empangan Nurek.

Bandar purba Sarazm, tapak UNESCO di Tajikistan

Menurut kajian sejarah, bandar Sarazm ini pernah menjadi lokasi pengeksportan metalurgi terbesar di Asia Tengah kira-kira 5000 tahun yang lampau. Metalurgi adalah proses pencairan atau pemanasan logam bagi menghasilkan produk dan perkakas untuk kegunaan manusia.

Sepanjang rekod sejarah, kawasan Sarazm pernah diperintah oleh beberapa empayar dan dinasti seperti Empayar Achaemenid, Empayar Sasania, Empayar Hephthalite, Empayar Samanid dan Empayar Mongol. Bandar ini kini telah tiada dan hanya mempunyai tinggalan sejarah yang dipelihara melalui kerja-kerja arkeologi.

Tajikistan juga amat dikenali dengan keindahan alam semula jadinya. Untuk pengetahuan anda, Tajikistan mempunyai lembah-lembah sungai yang mengalir dengan berlatar belakangkan gunung-ganang yang menawan.

Jika berkesempatan untuk melancong ke luar negara, pergilah ke Tajikistan untuk menikmati panorama alam semula jadinya.