Takutlah Kamu Dengan Istidraj

Apakah itu ‘istidraj’?

Menurut Mu’jam al-Lughah al-‘Arabiyah, istidraj secara bahasa diambil daripada perkataan ‘da-ra-ja’ (درج) yang bermaksud naik dari satu tingkat ke tingkat selanjutnya.

Manakala istidraj daripada Allah S.W.T. terhadap hamba difahami sebagai ‘hukuman’ yang diberikan sedikit demi sedikit dan tidak diberikan langsung. Ia juga bererti Allah S.W.T. membiarkan seseorang dan tidak disegerakan azabnya.

Firman Allah dalam surah surah Al-Qalam, ayat 44 yang bermaksud: “Kami akan menarik mereka sedikit demi sedikit (ke jurang kebinasaan), dari arah yang mereka tidak mengetahuinya.”

Secara konsepnya, istidraj adalah suatu keadaan di mana Allah tidak menyegerakan azab atau hukuman kepada hambaNya yang berdosa dan melakukan maksiat, sehingga menyebabkan individu tersebut terus-menerus melakukan perkara yang mungkar.

Malah, ada juga diuji dengan ‘nikmat’ berterusan yang diberikan kepadanya seperti kekayaan, wang ringgit yang tidak habis dibelanja, rupa paras yang amat cantik atau kedudukan yang tinggi di mata masyarakat serta pelbagai lagi kesenangan di dunia meskipun dia sering bergelumang dengan dosa dan tidak bertaubat.

Kesemua itu adalah sebagai ujian daripada Allah untuk melihat sejauh mana hambaNya bersyukur atau kufur dan terus hanyut dengan kesenangan dunia.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada ‘Uqbah bin ‘Amir R.A, Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud: “Apabila kamu melihat Allah S.W.T. memberi kepada hamba daripada (perkara) dunia yang diinginkannya, sedangkan dia terus melakukan maksiat kepadaNya, maka (ketahuilah) bahawa perkara itu adalah istidraj dari Allah S.W.T.” – Riwayat Ahmad (17311), al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (4220) dan al-Tabarani dalam al-Ausat (8/110).

Pada hari ini, telah banyak situasi seperti ini yang berlaku di hadapan mata kita, sama ada kita sedari ataupun tidak.

Tidak mustahil jika ada antara kita yang pernah berfikir dan mempersoalkan tentang kehidupan orang lain yang dilihat amat berjaya dan mempunyai pelbagai nikmat dan kesenangan dunia, sedangkan individu itu sering melakukan perkara-perkara yang dimurkai Allah.

Sesungguhnya, siapalah kita untuk menilai setiap kurniaan Allah kepada hamba-hamba yang dikehendakiNya, kerana setiap yang berlaku itu mempunyai pelbagai hikmah yang tersirat yang tidak kita ketahui.

Allah berfirman dalam surah Al-An’am ayat 44 yang bermaksud: “Ketika mereka tidak mengambil pelajaran dari kemiskinan dan sakit yang Kami timpakan kepada mereka, Kami uji mereka dengan rezeki yang banyak. Kami bukakan semua pintu untuk memperoleh rezeki tersebut. Hingga, pada saat mereka senang dan tidak bersyukur dengan apa yang Kami berikan kepada mereka, datanglah azab dengan tiba-tiba. Maka mereka lalu bingung, putus asa, dan tidak mendapatkan jalan keselamatan.

Marilah kita bertanya kepada diri sendiri dan nilaikan sendiri mengenai kehidupan kita.

Jika kita sedar bahawa kita sering melakukan perkara-perkara mungkar yang dimurkai Allah dan dibenci Rasullullah, namun kita masih diberikan pelbagai nikmat kehidupan yang tidak putus-putus, itu bererti semuanya hanyalah istidraj atau tipu daya.

Ia adalah semata-mata untuk menguji keimanan kita; sama ada kita akan terus hanyut dengan arus dosa dan noda atau kembali kepada jalan yang diredhaiNya.

Kurniaan Allah kebiasaannya diisi sebelum dan selepasnya dengan ketaqwaan, kebaikan dan ketaatan.

Hal ini sepertimana seseorang yang rajin melakukan solat malam, rajin bersedekah atau rajin melakukan solat Dhuha, yang kemudiannya Allah S.W.T. melimpah ruahkan rezekinya.

Maka, itulah yang kita namakan sebagai kurniaan atau karamah.

Namun, orang yang tidak mengerjakan sembahyang lima waktu, berterusan melakukan maksiat dan derhaka kepadaNya, namun dia kelihatan kaya dan rezekinya juga mudah, maka inilah yang dinamakan istidraj.

Justeru, marilah sama-sama kita sentiasa meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT selaras dengan firmanNya yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.” – Surah Ali Imran, ayat 102.

Sumber: Laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Foto: Bess Hamiti, Naim Benjelloun, Yasin Gündogdu & Pixabay (Pexels)