Takwa ke arah menjadi yang terbaik

Sahsiah Hanita Hassan 06-Mei-2020
Menjadi manusia terbaik © Prasit Rodphan | Dreamstime.com

Dalam hidup ini, kita sentiasa berusaha untuk menjadi insan terbaik sama ada ketika di dunia mahupun di akhirat.   Kebaikan dalam Islam tidak diukur dari segi keturunan, warna kulit atau kerjaya seseorang.  Ukuran yang sebenar ialah ketakwaan.  Allah SWT memberi redha-Nya melalui sifat takwa yang ada dalam diri anda.

“Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di aerivntara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling takwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.” (Surah Al-Hujurat, ayat 13)

Mukmin yang baik adalah mereka yang boleh memberi manfaat kepada insan lain dan menjadi hamba yang taat kepada Allah SWT.  Model manusia terbaik yang boleh menjadi contoh ikutan ialah Nabi Muhammad SAW.  Baginda meninggalkan kita dengan dua khazanah berharga sebagai panduan hidup iaitu Al-Quran dan Sunnah Nabawiyah.

“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah SAW itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).”  (Surah Al-ahzab, ayat 21)

Allah SWT mencintai hamba-Nya yang bertakwa.  Takwa boleh menyelamatkan anda daripada api neraka.  Apabila takwa anda di tingkat yang paling tinggi, masalah yang datang dalam kehidupan hanya seperti serpihan debu sahaja. Perkara pokok untuk menjadi manusia yang baik ialah meningkatkan takwa dalam diri.

Sepertimana kisah Nabi Ibrahim a.s. dan anakandanya Nabi Ismail a.s. berkenaan korban untuk mencapai taqwa. Nabi Ismail tidak membantah apabila bapanya Nabi Ibrahim mahu menyembelihnya.  Betapa tinggi takwa kedua-duanya kepada Allah SWT sehingga akhirnya Allah SWT menggantikan Nabi Ismail dengan seekor binatang sembelihan.

Dari Ibnu Abbas r.a., katanya Nabi SAW bersabda:  “Ada dua nikmat yang sering kebanyakan manusia tertipu tentangnya (sering melupakannya) iaitu waktu sihat dan waktu lapang.” (Hadis riwat al-Bukhari)

Rasulullah SAW juga melalui proses kehidupan yang biasa.  Baginda juga makan dan minum, tidur serta berkahwin dan mempunyai anak seperti kita. Namun bezanya, baginda adalah manusia hebat dan dikagumi dari segi akhlaknya.  Seorang suami dan ayah, kawan serta pemimpin yang memberi contoh teladan terbaik.  Setiap tingkah laku baginda selari dengan al-Quran dan tiada percanggahan.

Manusia akan menjadi yang terbaik apabila menghadapi halangan di hadapan mereka.  Dalam keadaan terpaksa, anda boleh melakukan apa sahaja.  Percayalah, Allah SWT tidak melihat permulaan anda tetapi Allah SWT akan menilai pengakhiran anda.  Semoga Ramadan dapat meningkatkan ketakwaan kita kepada Yang Maha Esa.