Taman Kilim Geoforest di Langkawi

Alam Sekitar Hanita Hassan
Hanita Hassan
Taman Kilim Geoforest di Langkawi
Taman Kilim Geoforest di Langkawi © Ravindran Smith | Dreamstime.com

Taman Kilim Geoforest atau Kilim Geoforest Park yang terletak di Pulau Langkawi, Kedah adalah antara tempat percutian yang sangat alami terutama bagi penggemar dan pencinta keindahan alam. Di sini, geoparks atau geosites adalah lokasi-lokasi yang diiktiraf oleh Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Keunikannya adalah dari segi geologi termasuk gunung, batu-batan, sungai, paya bakau, gua, tasik, haiwan liar dan sebagainya.

Keajaiban geologi di Taman Kilim Geoforest Langkawi

Anda akan dibawa menaiki bot menyaksikan semua tempat menarik yang ditawarkan di Taman Kilim Geoforest. Pelbagai pakej Mangrove Tour yang ditawarkan. Anda hanya perlu pilih mengikut kesesuaian serta masa anda.

Sepanjang perjalanan menyusuri Sungai Kilim, anda pasti terpesona menyaksikan spesis pokok-pokok bakau yang dikatakan sudah menjangkau ratusan ribu tahun. Begitu juga dengan struktur batuan batu kapur yang juga berusia jutaan tahun.

Gua Kelawar adalah salah satu tempat yang mesti dilawati.  Gua ini menempatkan lebih daripada 1,000 ekor kelawar dari jenis kelawar serangga dan kelawar bunga.  Kedudukannya di kaki bukit Kilim dikelilingi hutan paya bakau dan pintu gua pula menghadap Sungai Kilim.

Gua Buaya adalah satu lagi gua unik yang mengalir melalui Sungai Kilim. Ia hanya boleh ditembusi semasa air surut dengan bot kecil. Di sini tiada buaya, tetapi banyak rumah kelawar, batu kapur serta ikan-ikan melompat untuk mendapatkan makanan.

Perjalanan dari Gua Buaya akan membawa anda ke sebuah teluk yang menganjur ke laut terbentang luas dan menyaksikan burung-burung  helang yang menjadi ikon Pulau Langkawi.

Anda dibenarkan memberi makan burung-burung helang sambil menikmati pemandangan indah di sekelilingnya. Sebaik sahaja dilambungkan makanan, burung-burung helang berkepala putih akan mula menukik ke bawah air untuk merebut makanan.

Hidupan laut dan menyusuri Sungai Kilim

Di Kilim Geoforest Park, anda boleh singgah sebentar di salah sebuah Sangkar Ikan (Fish Farm). Pelbagai jenis ikan dan hidupan laut dipelihara dalam sangkar. Antaranya seperti pari, sumpit, belangkas dan siput.

Terdapat sebuah restoran khas yang menyediakan makanan kepada pengunjung. Sekiranya anda datang secara pakej, tempahan makan perlu dibuat lebih awal. Anda juga boleh menunaikan solat di pelantar restoran berlatarkan tasik yang luas dan menyamankan.

Pakaian solat perlu dibawa bersama untuk lebih selesa. Sujud di tengah-tengah tasik membuatkan hati bertambah sayu dan dekat dengan Allah SWT. Berdoalah apa sahaja kerana doa musafir tidak ada hijabnya.

Daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Ada tiga doa mustajab yang tidak diragukan lagi, iaitu doa orang yang teraniaya, doa musafir, dan doa ibu bapa untuk anaknya.” 

(Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Pengembaraan yang pasti mengujakan dan menarik adalah menyusuri Sungai Kilim. Pengunjung dapat menyaksikan kawasan laut Andaman yang hampir dengan sempadan Thailand yang cukup luas.

Sudah pasti ia akan menjadi pengalaman yang sangat indah. Pastikan anda tidak melepaskan peluang untuk berkunjung ke tempat ini bagi melihat sendiri keunikan dan keindahan alam ciptaan Tuhan. Aktiviti ini pasti memuaskan hati anda sekeluarga. Selamat mengembara!