Tamar yang istimewa

Makanan Chan Abdullah 27-Apr-2020
Tamar yang istimewa © Evri Onefive | Dreamstime.com

Tamar atau kurma adalah makanan yang sangat sinonim dengan bulan Ramadan. Tamar juga adalah salah satu makanan kegemaran Nabi Muhammad SAW. Allah SWT menyebut kalimah tamar sebanyak 21 kali di dalam Al-Quran yang mulia. Kebaikan tamar juga turut disebut di dalam kitab-kitab Taurat dan Talmud (kitab tafsir Taurat).

Rasulullah SAW selalu menyarankan agar kita berbuka puasa dengan tamar. Anas bin Malik telah meriwayatkan: “Rasulullah berbuka puasa dengan beberapa biji rutob (kurma basah) sebelum solat. Sekiranya tiada rutob, Nabi akan berbuka dengan beberapa biji tamar. Sekiranya tiada tamar, maka Nabi akan minum beberapa teguk air.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Tamar mempunyai banyak khasiat. Antaranya ialah:

  • Baik untuk menambah  tenaga – Tamar sangat kaya dengan zat dan vitamin seperti kalsium, zat besi dan pelbagai jenis vitamin. Tamar mengandungi unsur bebas lemak dan kolestrol. Selain itu buah tamar juga mengandungi glukosa dan sukrosa. Setelah seharian berpuasa, tamar mampu membantu mengembalikan tenaga segera selepas berbuka puasa.
  • Baik untuk sistem pencernaan – Pengambilan tamar mampu membantu melawaskan pembuangan najis dan mencegah sembelit.
  • Baik untuk ibu mengandung – Allah SWT memerintahkan Maryam untuk makan buah tamar bagi memudahkan proses bersalin. Semasa Maryam hendak melahirkan Nabi Isa a.s., Allah berfirman di dalam Al-Quran: “Dan goncangkanlah batang tamar itu, supaya gugur kepadamu tamar yang masak.” [Surah Maryam (19), ayat 25]

Terdapat pelbagai hadis Nabi junjungan kita mengenai buah tamar, antaranya ialah:

Dari Saad bin Abi Waqqas bahawa Nabi SAW bersabda: “Sesiapa yang memakan tujuh biji kurma Ajwah pada waktu pagi, tidak akan memberi mudarat sebarang racun mahupun sihir kepadanya pada hari tersebut.” [HR al-Bukhari (5445) dan Muslim (2047)]

Begitu juga, daripada Aisyah r.a. bahawa Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya pada kurma Ajwah ‘Aliyah itu ada ubat penyembuh atau ia merupakan ubat penawar bagi racun, apabila dimakan pada awal pagi.” [HR Muslim (2048)]

Sebagai seorang muslim, rugilah jika kita tidak memanfaatkan khasiat buah tamar ini. Selain berkhasiat dan mempunyai pelbagai kebaikan, pengambilan buah tamar ini juga adalah sebahagian daripada sunnah Rasulullah SAW yang boleh kita amalkan.