Tan Sri Dr. Noor Hisham dan bidang kesihatan Malaysia

TSDrNoorHisham-Sept20
Tan Sri Dr. Noor Hisham dan bidang kesihatan Malaysia © facebook.com/DGHisham

Tan Sri Dato’ Seri Dr. Noor Hisham Abdullah merupakan ikon yang popular bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada bulan Mac 2020. Sudah pasti pada setiap petang, semua rakyat Malaysia ternanti-nanti akan pengumuman yang dibuat oleh beliau mengenai situasi terkini penularan wabak COVID-19 di Malaysia.

Jika anda masih belum tahu sedikit sebanyak tentang beliau, Tan Sri Dr. Noor Hisham merupakan Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia yang bertungkus-lumus memimpin barisan Kementerian Kesihatan serta petugas kesihatan menangani wabak COVID-19 di Malaysia dengan jayanya. Mari kita ikuti sedikit latarbelakang mengenai tokoh bidang kesihatan dan perubatan di Malaysia ini.

Tan Sri Dr. Noor Hisham dilahirkan dengan nama asalnya Yew Ming Seong di Sepang, Selangor pada 21 April 1963 dalam sebuah keluarga berbangsa Cina. Beliau dibesarkan oleh ibunya yang merupakan seorang ibu tunggal. Akibat kedaifan keluarganya beliau dipelihara dan dibesarkan oleh ustaz dan pengetua Kolej Islam Klang (KIK) di mana beliau melanjutkan pelajarannya.

Beliau kemudian menukar namanya kepada Noor Hisham Abdullah dan akhirnya bertemu jodoh dengan anak kepada ayah angkatnya. Beliau mempunyai kelayakan ijazah sarjana dalam bidang surgeri dan ijazah kedoktoran perubatan dari Universiti Kebangsaan Malaysia.

Tan Sri Dr. Noor Hisham ialah pakar bedah dan pentadbir yang terlatih. Beliau juga merupakan pakar bedah kanan dan pakar bedah endokrin di Hospital Putrajaya. Beliau telah dilantik menjadi Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia pada tahun 2013. Pada Ogos 2017, beliau dilantik sebagai Ahli Majlis Tertinggi Jawatankuasa Eksekutif Komuniti Pakar Bedah Antarabangsa (ISS) selama 5 tahun.

Sumbangan beliau pada negara dalam bidang perubatan melayakkan beliau menerima pelbagai anugerah daripada negara. Terbaru, beliau telah diberi penganugerahan Darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran ‘Tan Sri’ sebagai menghargai jasa dan sumbangan beliau dalam bidang perubatan. Penganugerahan darjah kebesaran ini telah menjadi suatu fenomena di laman media sosial Twitter di mana rakyat Malaysia membuat carian tertinggi mengenai upacara tersebut.

Selain itu, Tan Sri Dr. Noor Hisham juga telah dipilih sebagai Tokoh Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan Bagi Tahun Hijrah 1442. Kejayaan serta anugerah yang diraih beliau sememangnya wajar mengenangkan betapa besar peranan dan sumbangan beliau kepada bidang kesihatan dan perubatan negara.

Hormat terikhlas daripada kami kepada Tan Sri Dato’ Seri Dr. Noor Hisham Abdullah.