Tan Sri Muhyiddin Yasin, Perdana Menteri Malaysia ke-8

Kehidupan Chan Abdullah 19-Ogo-2020
PM-Malaysia_Muhyiddin Yasin
PM Tan Sri Muhyiddin Yassin © By Public Domain, Link

Tan Sri Muhyiddin Yassin telah diumumkan menjadi Perdana Menteri kelapan pada 29 Februari 2020. Perlantikan beliau sebagai Perdana Menteri  adalah dengan perkenan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong rentetan kemelut politik yang melanda tanah air.

Bagi anda yang masih tidak mengenali beliau, ayuh ikuti biodata ringkas mengenai Perdana Menteri Malaysia yang kelapan ini. Tan Sri Muhyiddin telah dilahirkan di Muar, Johor pada 15 Mei 1947. Kini, usianya telah mencecah 73 tahun. Beliau telah berkahwin dengan Puan Sri Noorainee Abdul Rahman pada 22 September 1972 dan telah dikurniakan 4 orang anak hasil perkahwinan tersebut.

Ketika peringkat awal kerjanya di sektor awam, beliau merupakan Penolong Setiausaha Kerajaan Negeri Johor (Bahagian Latihan dan Biasiswa) pada tahun 1970 dan kemudiannya menyandang jawatan   Penolong Pegawai Daerah Muar pada tahun 1974.

Beliau pernah memegang beberapa jawatan penting di sektor korporat. Termasuk beberapa anak syarikat pelaburan kerajaan negeri iaitu Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Johor Darul Takzim (PKENJ); kini Perbadanan Johor (JCorp) sejak tahun 1974 hingga tahun 1978.

Tan Sri Muhyiddin Yassin telah lama berkecimpung dalam dunia politik. Pada awal penglibatan, beliau adalah ahli parlimen Pagoh sejak dari 1978 hingga 1986. Beliau juga pernah menjawat jawatan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan serta Timbalan Menteri Perdagangan dan Industri dalam pentadbiran kerajaan.

Pada tahun 1986 hingga 1995, beliau telah dilantik sebagai Menteri Besar Johor. Pada Pilihan Raya 1995, beliau telah kembali berkhidmat dengan kerajaan persekutuan setelah terpilih semula sebagai Ahli Parlimen Pagoh. Selepas daripada Pilihan Raya Umum ke-14, beliau telah dilantik untuk menerajui Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Tan Sri Muhyiddin pernah menjawat jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia ke-10 ketika menganggotai Jemaah Menteri pada tahun 2013. Daripada tahun 1995 hingga 2015, beliau telah memegang beberapa jawatan. Antaranya, Menteri Belia dan Sukan, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Menteri Pelajaran dan Menteri Pendidikan I.

Kini, beliau menyandang jawatan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan juga merupakan Perdana Menteri Malaysia. Perlantikan beliau sebagai Perdana Menteri kelapan mencetuskan beberapa kontroversi terutamanya dari kalangan bekas kerajaan iaitu Pakatan Harapan.

Namun, karier politik beliau juga bukanlah tidak pernah diundang kontoversi. Beliau juga pernah dipecat dari parti dan dilucutkan jawatan selaku Timbalan Perdana Menteri ketika menggangotai kabinet Kerajaan Barisan Nasional.

Semoga Tan Sri Muhyiddin dapat mengekalkan keharmonian negara Malaysia dan dapat meneruskan legasi Perdana Menteri sebelum beliau dalam memacu dan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang berintegriti, berdaya saing, harmoni, maju dan disegani ramai.