Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary, taikun perniagaan Muslim

Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary © albukharyfoundation.my

Kenalkah kita kepada tuan empunya nama, Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary yang merupakan tokoh jutawan dan usahawan Islam yang berjaya. Namanya bukan sahaja masyhur di dalam negara, malah tidak asing juga di luar negara.

Melalui entiti konglomerat Kumpulan Syarikat Albukhary, Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary memiliki syarikat-syarikat gergasi nasional seperti DRB-HICOM, MMC dan Tradewinds Plantation. Terkini, beliau telah memiliki 31.22% daripada Media Prima Bhd, konglomerat media terbesar di Malaysia.

Tan Sri Syed Mokhtar Shah bin Syed Nor Albukhary telah dilahirkan pada tahun 1951 di Alor Setar, Kedah. Beliau merupakan anak ketiga daripada tujuh orang adik beradik. Beliau bersekolah rendah di Alor Setar. Ketika berusia 9 tahun, beliau telah dihantar ke Johor Bahru dan tinggal bersama bapa saudaranya yang bernama Syed Omar.

Tan Sri Syed Mokhtar menerima pendidikan di Johor Bahru dari darjah empat hinggalah ke tingkatan dua. Kemudiannya, beliau pulang semula ke kampung halamannya dan menyambung persekolahan hingga ke tingkatan lima di Sekolah Menengah Kebangsaan St. Michael.

Tan Sri Syed Mokhtar sering membantu ibunya menanam  dan menjual sayur di pasar. Beliau juga turut membantu ibunya menjual roti canai. Setelah tamat persekolahan, beliau membantu bapanya dalam perniagaan lembu ternakan, namun perniagaan tersebut bermasalah disebabkan penyakit kaki dan mulut yang menyerang lembu ternakan ayah beliau.

Tan Sri Syed Mokhtar telah mengambil alih perniagaan bapanya dan memulakan semula dengan menjual daging lembu. Beliau akan pergi ke pasar-pasar di sekitar Alor Setar untuk  membeli daging yang tidak terjual dan  kemudiannya membungkus daging tersebut bersama ais. Setelah itu, beliau akan menjualnya kembali kepada peniaga bumiputera dan restoran-restoran di sekitar Alor Setar. Perniagaan beliau berjaya dan beliau makin bersemangat untuk mengembangkan perniagaannya.

Tan Sri Syed Mokhtar telah bergiat aktif dalam perniagaan perkapalan. Beliau telah menubuhkan Bukhary Shipping. Beliau turut melibatkan diri dalam projek penswastaan Johor Port Sdn. Bhd. dan Johor Tenggara Oil Palm Sdn.Bhd. Projek Pelabuhan Tanjung Pelepas telah dijayakan melalui Johor Port.

Kemajuan Tanjung Pelepas semakin meningkat hingga berjaya meyakinkan syarikat perkapalan antarabangsa, Maersk Sealand dari Denmark dan Evergreen Marine dari Taiwan berpindah dari pelabuhan Singapura ke Pelabuhan Tanjung Pelepas.

Tan Sri Syed Mokhtar juga telah mengasaskan Yayasan Albukhary. Yayasan ini telah ditubuhkan pada  Mac 1996 sebagai badan kebajikan (organisasi amal bukan untung) antarabangsa yang memberi tumpuan kepada pembangunan sosial. Ia berperanan membantu golongan miskin, menyokong perkembangan seni dan budaya Islam dan juga menggalakkan persefahaman antara peradaban.

Antara projek terbesar yang dijalankan Yayasan Albukhary  adalah pembinaan Kompleks Albukhary yang bernilai RM400 juta di Kedah. Tidak ketinggalan, Muzium Kesenian Islam Malaysia di Kuala Lumpur yang bernilai RM100 juta.

Sebagai hartawan berwawasan dan antara jutawan yang paling dikenali di Malaysia, Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary adalah seorang insan yang sangat rendah diri. Dia tidak mengamalkan gaya hidup yang mewah dan dikenali sebagai seorang yang ramah dan mengingati asal-usulnya.

Walaupun pernah jatuh dalam perniagaan, Tan Sri Syed Mokhtar tidak pernah berputus asa dan kembali bangun menjadi usahawan yang berjaya. Selain itu, sikap dermawan beliau yang selalu menyumbang kepada masyarakat dan komuniti juga harus dicontohi.