Tanam minat membaca dalam diri anak-anak

Ruangan Kanak-kanak Chan Abdullah 24-Jul-2020
Tanam minat membaca dalam diri anak-anak © Surya Nair | Dreamstime.com

Minat membaca dalam diri anak-anak perlu dipupuk sejak dari mereka kecil lagi. Tidak perlu menunggu sehingga mereka sudah masuk ke sekolah tadika baru untuk di ajar membaca. Ibu bapa perlu memainkan peranan penting supaya anak-anak suka untuk belajar membaca.

Jika mereka sudah mengenal huruf dan mampu membaca meskipun walau hanya dua suku kata, ianya sesuatu yang cukup memberangsangkan bagi kanak-kanak seusia mereka.

Bagaimanakah caranya untuk memupuk sikap minat membaca sewaktu di usia mereka yang hanya tertumpu pada keseronokan bermain sahaja?

Bacakan mereka buku

Ibu bapa perlu kerap membacakan buku kepada anak-anak bagi menanam minat membaca di kalangan anak-anak sejak kecil. Biasakan mereka untuk mendengar cerita yang anda bacakan di dalam buku cerita. Bagi ibu bapa yang bekerja, anda boleh menggunakan masa yang ada sebelum tidur untuk membacakan buku kepada anak-anak. Jika anda amalkan budaya ini, lama kelamaan anak-anak anda sendiri yang akan meminta anda membaca buku untuk mereka.

Bacakan buku bergambar untuk anak-anak

Satu teknik yang sangat mudah adalah dengan mengajarkan mereka membaca dengan menggunakan bahan bacaan bergambar. Anak-anak lebih cepat mengingat apabila menggunakan gambar. Suruh mereka sebutkan gambar yang mereka lihat kemudian tunjukkan padanan ejaan suku kata bagi gambar tersebut.

Gunakan bantuan video

Ibu bapa boleh sahaja menggunakan video dalam memupuk minat membaca anak-anak. Apabila menggunakan pembelajaran secara video, anak-anak akan mengunakan deria pendengaran mereka sepenuhnya. Ini akan menguatkan lagi daya kefahaman mereka untuk mengenal pasti setiap tutur kata yang diperdengarkan pada video tersebut.

Bina perpustakaan mini di rumah

Jika mampu, bina perpustakaan mini di rumah. Pupuk anak-anak dengan minat membaca buku. Letakkan buku-buku yang mereka gemari di sana bagi menarik minat mereka untuk membaca.

Bawa ke kedai buku berdekatan

Setiap hujung minggu sekiranya ada kelapangan masa, bawalah mereka ke kedai buku berdekatan dan berikan mereka peluang dan masa untuk mereka mencari buku yang mereka ingini. Kebiasaannya buku yang menjadi pilihan mereka akan lebih banyak dibaca dan dibelek berulang kali.

Rajinkan diri untuk membaca

Tunjukkan teladan yang baik untuk anak-anak. Sebagai ibu bapa kitalah yang harus mengamalkan amalan suka membaca ini terlebih dahulu. Korbankan masa dengan gajet dan lebihkan masa untuk membaca bersama anak-anak.

Tidak susah sebenarnya untuk memupuk minat membaca dalam diri anak-anak. Apa yang penting, ibu bapa perlu memainkan peranan untuk membentuk minat tersebut. Memang pada awalnya akan ada cabaran yang tersendiri, namun alah bisa tegal biasa.