Tanggungjawab sebagai remaja era digital

Teknologi Hanita Hassan
Terkini oleh Hanita Hassan
Tanggungjawab sebagai remaja era digital
Tanggungjawab sebagai remaja era digital © Odua | Dreamstime.com

Media sosial dewasa ini menjadi medium utama dan penting bagi remaja untuk berkomunikasi.  Bagi anda yang lahir sekitar tahun 1995 hingga 2010, anda adalah generasi yang sudah terdedah dengan internet sejak dilahirkan lagi.

Ia adalah tahun di mana internet digunakan secara meluas di seluruh dunia.  Web 2.0 mula digunakan, telefon pintar dan teknologi komunikasi digital diperkenalkan.  Masyarakat mula teruja dengan perkembangan baharu ini.

Tanggungjawab sebagai remaja era digital

Teknologi mendedahkan kita dengan pelbagai maklumat. Justeru, tidak hairanlah ramai kalangan ibu bapa mula memperkenalkan kepada anak masing-masing penggunaan gajet.  Fitrah manusia yang suka akan sesuatu yang baharu dan canggih.

Setiap kali anak-anak menangis, jalan mudah adalah dengan mengumpan mereka dengan gajet atau telefon pintar.  Anak-anak tidak perlu lagi bermain di luar rumah.  Hanya perlu pilih sahaja aplikasi video dalam pelbagai bentuk dan aksi.

Secara purata, anda boleh menghabiskan lapan jam sehari menggunakan peralatan teknologi digital. Sehingga minda anda dipengaruhi teknologi sepenuhnya.  Celik mata sahaja   anda mencari telefon pintar masing-masing.

Ada yang merengek meminta daripada ibu atau bapa tidak kira masa sehingga terpaksa disekat.  Setelah anda meningkat remaja, anda mula terdedah dengan penggunaan media sosial.

Kajian mendapati sebanyak lapan jenis aplikasi media sosial digunakan secara meluas oleh remaja.  Facebook, Youtube, Twitter, WhatsApp, WeChat, Telegram dan Instagram.  Secara purata tempoh masa penggunaan media sosial paling lama sehari ialah WhatsApp (4.2 jam) diikuti oleh WeChat (2.6 jam), Facebook (1.8 jam) dan Instagram (1.8 jam).

Aplikasi WhatsApp adalah paling popular dalam kalangan remaja seperti anda. Ciri-cirinya lebih mudah dan privasi berbanding media sosial lain untuk berhubung dengan ibu bapa, adik-beradik, sepupu serta rakan-rakan dan juga guru.  Guru turut memberi kerja sekolah melalui aplikasi Whatsapp.

Facebook digunakan sebagai medium mencari maklumat. Instagram sebagai tempat untuk jurnal harian anda dalam bentuk video dan gambar.  WeChat juga menjadi medium kepada anda yang berusia awal dan remaja pertengahan menjalin perhubungan secara langsung.

Imbangi hidup di dunia tanpa meminggir akhirat

Teknologi digital dan media sosial sebenarnya memberi implikasi yang positif kepada anda sebagai pengguna. Anda yang tinggal berjauhan dengan keluarga, boleh berhubung secara langsung, begitu juga dengan rakan-rakan serta mengetahui perkembangan ahli keluarga.

Anda juga boleh mempelajari banyak perkara baharu, membina dan mengukuhkan jaringan, mendokumentasi pemikiran, bakat dan minat di samping menjimatkan kos untuk berhubung.  Bagi anda yang mempunyai visi menjadi usahawan, ia sebagai jalan untuk menambah pendapatan secara dalam talian.

Meskipun tidak dinafikan ada yang tersilap langkah dan terjerumus kepada perkara yang negatif. Namun selagi anda berpegang teguh kepada al-Quran dan al-Sunnah, anda akan sentiasa terpelihara daripada kesesatan.  Sepertimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Aku tinggalkan kepadamu dua perkara yang kamu tidak akan sesat selama kamu berpegang teguh kepada keduanya, al-Quran dan al-Sunnahku.”

(Hadis riwayat Malik)

Islam adalah agama yang cukup indah dan syumul.  Allah SWT menurunkan melalui wahyu-Nya kepada Rasulullah SAW.  Islam turut menggariskan bahawa kecemerlangan seseorang itu adalah mereka yang mengimbangi kehidupan di dunia tanpa meminggirkan akhirat.

Tanggungjawab anda sebagai remaja Islam bukan sahaja untuk diri sendiri tetapi juga kepada rakan-rakan sekeliling.  Jika anda melihat perkara yang bersifat negatif, ambil langkah menegur secara berhemah.  Semoga teknologi membawa anda menjadi umat yang terbaik sepertimana yang berlaku di zaman keemasan Islam dahulu.