Tanjung Tuan, kaya dengan flora dan fauna

Melancong 14 Nov 2020 Hanita Hassan
Tanjung Tuan, kaya dengan flora dan fauna
Rumah Api Tanjung Tuan © viator.com/en-MY

Tanjung Tuan atau dikenali dengan nama Cape Rachado oleh Portugis adalah hutan simpan yang  popular dan kaya dengan pelbagai spesis flora dan fauna. Ia telah digazet oleh kerajaan negeri Melaka sejak 1921.

Tanjung Tuan adalah satu-satunya hutan pesisir pantai yang terdapat di Melaka. Sejarah, persekitaran alam dan geografinya menjadikan Tanjung Tuan unik untuk pencinta alam dan peminat burung pemangsa.

Hutan Rekreasi Tanjung Tuan, kaya pelbagai spesis flora dan fauna

Sekitar tahun 1606 pantai Tanjung Tuan terkenal sebagai kawasan pertempuran tentera laut dalam kalangan kuasa penjajah. Selepas penaklukan Portugis pada 1511, sebuah rumah api dibina untuk mengawal kapal yang berdagang ke Melaka.

Pada tahun 1921, kawasan hutan Tanjung Tuan yang seluas 80.97 hektar telah diwarta sebagai hutan simpan kekal. Ia dikenali sebagai Hutan Simpan Cape Rechardo ketika itu.  Sejak tahun 2000, ia secara rasmi dikenali sebagai Hutan Rekreasi Tanjung Tuan.

Pada 5 Januari 1971, seluas 60.70 hektar daripada kawasannya diwarta sebagai Suaka Hidupan Liar dan Burung-burung mengikut Ordinan Perlindungan Binatang-binatang Liar dan Burung-burung di bawah kuasa Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).  Keluasan sebenar Hutan Simpan Tanjung Tuan adalah 74.08 hektar.

Kaya dengan pelbagai spesis flora dan fauna, terdapat 177 jenis tumbuh-tumbuhan dan pokok direkodkan dan menjadi tempat hentian yang ideal bagi burung migrasi terutama dari Timur Asia dan Australia. Fenomena ini berlaku setahun sekali apabila burung-burung berhijrah dari kawasan sejuk ke kawasan yang lebih panas.

Hampir 95% daripada burung migrasi ini terdiri daripada burung pemangsa iaitu dari spesis Helang Lebah (Oriental Honey Buzzard). Spesis lain seperti Helang Baza Berjambul (Black Baza), Helang Sewah (Japanese Sparowhawk), Alap-alap Cina (Chinese Goshawk), Helang Merah (Brahminy Kite) dan Lang Baza Hitam (Grey-faced Buzzard).

Santuari burung dan destinasi persinggahan 300,000 burung setahun

Tanjung Tuan popular sebagai santuari kepada 54 spesis burung dan destinasi  persinggahan kira-kira 300,000 burung setiap tahun. Ia terletak di bahagian paling hampir dengan Pulau Rupat, Kepulauan Sumatera, Indonesia.  Ia membekalkan thermal column iaitu ruang-ruang panas kepada burung-burung tersebut, sekali gus mengurangkan penggunaan tenaga untuk terbang.

Fenomena ini berlaku ribuan tahun dahulu dan masih berlaku sehingga ke hari ini.  Burung-burung ini datang dari Tanjung Rupat, Sumatera, Indonesia dan singgah di Tanjung Tuan sebelum terbang ke kawasan utara seperti Siberia, Korea Selatan dan Jepun yang mengalami musim sejuk pada setiap Oktober.

Sebuah rumah api dengan menara berketinggian 24 meter (79 kaki) dibina pada tahun 1817 oleh Belanda dan telah dibaikpulih pada tahun 1863.  Berada di puncaknya, anda boleh menikmati pemandangan Selat Melaka.

Meredah hutan ini agak memenatkan memandangkan bukitnya curam. Anda akan terpegun dengan keindahan pohon-pohon yang terdapat di sini, seolah-olah kanopi yang tinggi sambil bertemankan bunyi serangga. Laluan lebih mudah kerana jalan ke rumah api sudah diturap dengan tar.  Lebih kurang 500 meter juga untuk sampai ke rumah api ini.

Sambil mendaki anda boleh menikmati keindahan alam ciptaan Allah SWT. Islam menggalakkan kita untuk melihat alam dan bertadabur akan keagungan-Nya. Sepertimana firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud:

“Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal.”

(Surah Ali-Imran, ayat 190)

Justeru, terokai alam supaya kita menghargai setiap makhluk ciptaan Allah SWT di dunia ini.