Pendapat 28-Apr-2020

Tarawih peluang menguatkan jiwa dan refleksi kendiri

Hanita Hassan
Kolumnis
Tarawih refleksi diri © Leo Lintang | Dreamstime.com

Setiap tahun kita menanti-nantikan kedatangan Ramadan. Meskipun diwajibkan berpuasa selama sebulan dan menunaikan zakat, namun semua itu tidak melemahkan semangat, berbanding keistimewaan lain yang ada di dalamnya.

Tarawih sering dinanti-nanti bagai mengubat keletihan jiwa setelah sekian lama bertarung dengan kesibukan hidup.  Tarawih sering digunakan sebagai medium untuk khatam 30 juzuk (114 surah) al-Quran pada penghujung Ramadan.

Biasanya imam akan membaca sekurang-kurangnya satu juzuk al-Quran. Ada masjid yang melakukan solat sunat tarawih  dengan 11 rakaat, tidak kurang juga yang melakukan sebanyak 23 rakaat.  Ia akan mengambil masa sekitar satu hingga dua jam bergantung kepada bacaan imam.

Setiap kali selesai tarawih, anda pasti akan berasa nikmatnya mengerjakan ibadah sunat tersebut.  Meskipun penat, namun di dalamnya ada kepuasan kerana ia tidak datang dalam bulan-bulan lain.  Tarawih hanya ada di bulan Ramadan sahaja.

Semua masjid sibuk kerana ada pelbagai aktiviti sepanjang Ramadan.  Selesai tarawih, ada masjid yang menyediakan moreh (kenduri) untuk jemaahnya.  Makanan  pula disumbang oleh ahli jemaah untuk mengikat silaturahim penduduk setempat.  Selepas moreh, ada pula yang duduk lagi di masjid sambil bertadarus.  Tidak kurang yang berlanjutan sehingga waktu sahur.

Satu hal yang berlainan pada Ramadan kali ini, kita terkurung di rumah dan tidak dibenarkan melakukan semua amalan yang biasa dilakukan di masjid. Pandemik koronavirus baru yang melanda seluruh dunia menyebabkan masjid dan surau ditutup, bahkan Masjidil Haram yang merupakan masjid terbesar umat Islam juga hanya mengadakan solat sunat tarawih dalam kalangan petugas masjid.

Apapun, Ramadan kali ini adalah saat terbaik untuk refleksi jiwa dan merenung ke dalam diri sendiri.  Kalau dahulu anda hanyalah makmum ketika bertarawih, tetapi jika anda seorang ketua keluarga, anda akan menjadi imam mengetuai solat fardu dan tarawih sejak malam pertama hinggalah Ramadan terakhir.

Rutin luar dari kebiasaan ini mengajar anda dan semua umat Islam mencari kekuatan diri untuk tetap menghidupkan amalan Ramadan.  Sekiranya anda tidak memulakan di rumah, Ramadan akan tinggal layu dan sepi seperti bulan-bulan yang lain yang tiada rohnya.

Ramadan kali ini akan melahirkan lebih ramai imam solat fardhu dan tarawih.  Inilah hikmah di sebalik penutupan masjid dan surau di seluruh dunia.  Meskipun terpaksa belajar dari mula kerana ada yang baharu pertama kali cuba menjadi imam, ia tidak menjadi halangan sekiranya ada semangat dan kesungguhan.

Kecanggihan teknologi telah membantu imam-imam baharu untuk melihat video-video panduan imam dan bilal tarawih yang dirakamkan serta memuatkan surah-surah lazim yang boleh dibaca di dalam solat tarawih, selawat dan zikir yang popular dialunkan bilal di setiap kali berhenti rehat antara dua solat tarawih.

Ruang tamu rumah sudah menjadi ruangan kekal untuk melaksanakan amalan sepanjang Ramadan. “Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan (wahai umat manusia dan jin)?” Ayat di dalam al-Quran, surah Ar-Rahman (55) ini telah diulang-ulang sebanyak 31 kali oleh Allah SWT.

Hal ini menunjukkan bahawa nikmat amalan tarawih yang Allah SWT berikan kepada manusia itu tidak boleh diingkari malah harus dihargai. Renungkan perkara ini dalam diri anda dan teruskan menghayati amalan tarawih di bulan Ramadan yang suci ini.

Ingin berkata sesuatu?

Sila berhubung!

Artikel-artikel berkaitan
Pendapat
Pendapat 24-Mei-2020
Hanita Hassan
Kolumnis

Mungkin inilah hikmah di sebalik pandemik COVID-19.  Kita diminta bersabar supaya wabak yang sedang melanda ini tidak disebarkan sewaktu berhari raya.  Ini sekali gus menjadikan tahun 2020 titik sejarah yang akan dikenang seumur hidup.  Sesungguhnya inilah hakikat kehidupan yang tidak sunyi dalam menghadapi ujian Allah SWT.  Walaupun perit, kita perlu kuat menghadapinya jua.

Teruskan Teruskan
Pendapat
Pendapat 15-Mei-2020
Hanita Hassan
Kolumnis

Realitinya, karya sastera juga memainkan peranan tersendiri dalam memberi pengajaran sejarah melalui lakaran karya-karya kreatif karangan mereka. Karya besar seperti ini lahir sebagai ekspresi penulis tentang keadaan masyarakat atas sifat tanggungjawab sosial bagi membantu meleraikan kekusutan mereka yang ditindas.

Teruskan Teruskan
Pendapat
Pendapat 08-Mei-2020
Hanita Hassan
Kolumnis

Gerak kerja dakwah melalui tekno daie dan dakwah siber boleh membantu penyampaian mesej dakwah secara berkesan.  Hari ini, dakwah tidak hanya terhad kepada seruan secara lisan tetapi juga perlu menggunakan media baharu asal sahaja ia tidak bercanggah dengan syariat Islam.

Teruskan Teruskan
Pendapat
Pendapat 04-Mei-2020
Hanita Hassan
Kolumnis

Kemenangan umat Islam adalah isyarat Allah SWT kepada Nabi SAW untuk meneruskan dakwah Islam. Sirah perjuangan para sahabat berperang mempertahan agama dalam keadaan berpuasa dengan kelengkapan persenjataan yang kurang dalam bulan Ramadan perlu dikisahkan kepada generasi muda.

Teruskan Teruskan