Tarikan di Pulau Kapas dan pantai yang putih bersih

Melancong Hagnas
Hagnas
Tarikan di Pulau Kapas dan pantai yang putih bersih
Tarikan di Pulau Kapas dan pantai yang putih bersih © Amirul Syaidi | Dreamstime.com

Pulau ini dinamakan Pulau Kapas kerana pantai ini putih bersih seolah-olah kapas yang  warnanya putih dan boleh dibuat kain (iaitu kain kapas atau cotton). Pantainya yang putih bersih ini menjadi tarikan pelancong dalam dan luar negara.

Pulau Kapas terletak di Laut China Selatan dan jaraknya dari jeti Marang, Terengganu adalah kira-kira 6 km atau 20 minit.

Aktiviti menarik di Pulau Kapas

Percutian di Pulau Kapas sangat menyeronokkan dan begitu popular di Terengganu. Terdapat banyak aktiviti menarik di Pulau Kapas ini yang antaranya ialah:

Menyelam permukaan dan skuba

Menyelam di permukaan (snorkeling) pantai Pulau Kapas sangat disukai oleh ramai pengunjung. Dengan air yang jernih seperti kristal, pantai berpasir  ini mengadap ke semenanjung menyebabkan ombak tidak kuat dan aktiviti ini dapat dijalankan dengan selamat dan menyeronokkan.

Berkayak

Disebabkan Pulau Kapas ini merupakan Taman Negara Marin, semestinya anda tidak akan kecewa dengan pemandangan pantai yang dihidangkan. Kejernihan dan kebiruan airnya memastikan anda dapat melihat hidupan laut dan pemandangan di dalamnya walaupun anda berada di permukaan!

Jelajah hutan

Disebabkan keluasan pulau ini ialah 2. 72 km persegi, melakukan jelajah hutan atau jungle trekking agak memenatkan. Pengunjung boleh memilih laluan jelajah yang pendek atau di sekitar pantai sahaja atau boleh memiliki laluan jelajah berdasarkan minat masing-masing. Keindahan pemandangan ciptaan Allah SWT akan menjadikan kepenatan itu bukanlah cabaran yang besar.

Buaian

Bayangkan dengan angin sepoi-sepoi bahasa menghembus tenang wajah anda yang sedang berehat-rehat di atas buaian atai hammock di bawah pohon di tepi pantai.

Perkhemahan tepi pantai

Perkhemahan di tepi pantai atau beach camping merupakan aktiviti yang menyeronokkan dan unik. Tempat perkhemahan yang utama dan popular adalah tapak perkhemahan Longsha.

Bola Tampar pantai

Terdapat beberapa gelanggang bola tampar di pantai ini.

Penginapan

Tempat penginapan di Pulau Kapas banyak pilihannya. Harga berpatutan dan servis juga bagus. Antara tempat penginapan yang popular ialah  Kapas Turtle Valley, Qimi Chalets, Kapas Beach Chalets, Tapak Perkhemahan Longsha, dan Gem Islands Resort and Spa.

Pantai di tempat-tempat penginapan ini biasanya sangat mengagumkan. Bagi yang pertama kali ke Pulau Kapas, anda pasti bungkam tidak  bersuara ketika pertama kali melihatnya. Allah SWT yang menjadikan keindahan pulau ini untuk kita nikmati, hargai dan pelihara. Subhanallah.

“Dia-lah Allah yang menjadikan segala yang ada di bumi untuk kamu dan Dia berkehendak terhadap langit, lalu di jadikan-Nya tujuh lapisan langit. Dan Dia maha Mengetahui segala sesuatu.”

(Surah al-Baqarah, 29)