Tatar Krimea – Bangsa Muslim Eropah yang kurang dikenali

Dunia Adea Ghafar 18-Mei-2020
Memperingati mangsa-mangsa genosid bangsa Tatar Krimea © Sergbob | Dreamstime.com

Setiap tahun pada 18 Mei, bangsa Tatar Krimea (Crimean Tatar) di seluruh dunia memperingati nenek moyang mereka, mangsa pengusiran dari tanah air sendiri oleh pemimpin Kesatuan Soviet (USSR), Joseph Stalin. Ia adalah salah satu kejadian paling tragis di abad ke-20 dalam sejarah Republik Krimea, yang secara rasminya adalah sebahagian dari negara Ukraine sekarang.

Pada 18 Mei 1944, setelah mendapat arahan langsung kerajaan dan disetujui oleh Stalin, para pegawai KGB mereka telah menyelaraskan dan menjalankan operasi mengusir seluruh penduduk Tatar Krimea ke wilayah terpencil di Asia Tengah.

Kira-kira 250,000 orang termasuk warga tua, wanita dan kanak-kanak dipaksa masuk ke dalam kenderaan-kenderaan dengan kotak-kotak yang dibina untuk membawa binatang ternakan. Kira-kira 7,900 orang tidak sampai ke destinasi kerana keadaan perjalanan yang teruk, kekurangan bekalan asas dan akibat dijangkiti penyakit.

Sebanyak 46.2% dari mereka yang dipindahkan telah mati dalam tempoh dua tahun pertama pengasingan yang berlangsung selama 43 tahun. Hanya pada tahun 1987 semasa pemerintahan dan polisi ‘Glasnost’ oleh Mikhail Gorbachev (bekas pemimpin Soviet), kaum Tatar Krimea diizinkan pulang ke tanahair mereka.

Pada tahun yang sama juga sebuah badan perwakilan eksekutif tertinggi Tatar Krimea yang dipanggil ‘Mejlis’ telah dibentuk. Tatar adalah orang asli Krimea – semenanjung yang dikelilingi oleh Laut Hitam dan Laut Azov di Ukraine. Mereka tidak begitu dikenali dunia, dan mereka adalah salah satu negara Muslim paling kuno di Eropah.

Tatar Krimea adalah keturunan dari pelbagai kumpulan etnik yang berkumpul di Semenanjung Krimea. Orang Tauri, Scythian, Sarmatian, Alan, Greek, Goth, Roman, Khazar, Pecheneg, Italia, Circassia and Turk telah mempengaruhi perkembangan Tatar Krimea.

Kesatuan etnik yang beragam dalam negara Tatar Krimea telah mengambil masa berabad-abad lamanya. Faktor-faktor penyatuan mereka adalah kebersamaan wilayah, bahasa Turki, dan agama Islam. Kini, terdapat lebih dari lima juta orang Tatar Krimea di Ukraine, Turki dan Asia Tengah.

Kedutaan Ukraine di Malaysia mengatakan, sejak merdekanya Ukraine pada tahun 1991, majoriti  bangsa Tatar Krimea yang dihantar pulang telah kembali di bawah program pemulangan yang disokong kerajaan Ukraine. Ini merangkumi 12% dari keseluruhan rakyat Krimea.

Pada bulan Mac 2014, semenanjung Krimea telah digabung paksa oleh Persekutuan Rusia. Masyarakat antarabangsa, termasuk Malaysia, tidak mengiktiraf penguatkuasaan penggabungan tersebut. 12 Disember 2015 adalah tarikh Parlimen Ukraine meluluskan resolusi yang mengiktiraf pengusiran 1944 sebagai pembunuhan beramai-ramai. 18 Mei telah disytiharkan sebagai Hari Peringatan bagi mangsa penghapusan bangsa Tatar Krimea.

Tarikh 18 Mei 1944 akan kekal menjadi kenangan penting dalam sejarah hitam kekejaman yang dilakukan oleh rejim Soviet. Sementara itu, pada tahun 2016, Jamala iaitu penyanyi Ukraine berbangsa Tatar Krimea telah memenangi pertandingan Lagu Eurovision dengan lagu yang penuh emosi bertajuk ‘1944’ yang menyoroti kisah tragis Tatar Krimea.