Taubat membersih diri menghapus dosa

Sahsiah Hanita Hassan 18-Mei-2020
Ramadan bulan sesuai memohon taubat © Hin255 | Dreamstime.com

Kepesatan teknologi maklumat dan komunikasi serta internet telah menjadikan dunia ini tidak ubah sebuah perkampungan global.  Kita terdedah melakukan dosa di hujung jari.  Maklumat palsu bertebaran dan ada yang sengaja direka untuk menjatuhkan individu atau organisasi tertentu.

Sebagai pengguna aktif dengan media sosial, sama ada untuk keperluan pekerjaan mahupun kegunaan peribadi, kita membaca begitu banyak kisah masyarakat.  Kadang kala tanpa kita sedar, kisah-kisah tersebut mendekatkan kita dengan dosa dan kemaksiatan.

Abu Hurairah r.a. berkata:  Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:  “Demi Allah sesungguhnya aku meminta ampun kepada Allah dan bertaubat kepada-Nya dalam sehari lebih daripada 70 kali.”  (Hadis riwayat Al-Bukhari)

Dalam diri manusia terdapat akal dan nafsu yang mendorong melakukan kebaikan dan keburukan. Hal demikian meletakkan manusia sebaik-baik kejadian dan penuh kesempurnaan, boleh membezakan mana yang baik dan yang buruk. Maka, Allah SWT memberi peluang kepada kita untuk menghapuskan dosa dengan cara bertaubat.

Bertaubat bermaksud menyesali segala perbuatan mungkar dan kembali mengikuti segala perintah-Nya. Taubat yang sebenar-benarnya akan membersihkan diri seperti tidak pernah melakukan dan mengulangi perbuatan dosa yang serupa.

Firman Allah SWT dalam Al-Quran:  “Dan sesungguhnya telah Kami muliakan anak-anak Adam, Kami angkat mereka di daratan dan di lautan, Kami beri mereka rezeki dari yang baik-baik dan Kami lebihkan mereka dengan kelebihan yang sempurna atas kebanyakan makhluk yang telah Kami ciptakan.” (Surah Al Isra’a, ayat 70)

Justeru, bersegeralah kita melakukan taubat dan berbuat amal soleh sebelum terlambat.  Kita bimbang tidak sempat bertaubat, kita terpaksa membawa dosa yang kita lakukan ke negeri akhirat, tempat pembalasan yang pasti.

Abu Hurairah r.a. meriwayatkan sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda: “Seseorang mukmin jika melakukan dosa berbintik hitam di dalam hatinya.  Kemudian jika dia bertaubat dan menghentikan dosa tersebut, hatinya kembali bersih berkilat.  Tetapi apabila ia menambah dosa-dosa, maka bertambah bintik hitam sehingga menutup hatinya.”

Manusia pada asalnya dicipta cukup sempurna.  Dalam hadis Nabi SAW mengatakan seorang bayi dilahirkan fitrah iaitu bersih.  Lahir dalam keadaan tidak ada kecelaan atau kehinaan.  Namun semakin kita meningkat dewasa, kita terdedah melakukan pelbagai  kemaksiatan dan dosa sama ada kita sedar atau tidak.

Rasulullah SAW menyeru umatnya bersegera dan tidak menangguh taubat kerana sifat bertangguh itu akan membuatkan kegelisahan di hati semakin hilang.  Dosa yang dilakukan akan menghitamkan hati sehingga kita tidak lagi mampu mengenal mana satu kebaikan dan mana satu keburukan.

Kita boleh mengikut panduan yang diajar oleh Saidina Umar r.a. iaitu sebelum tidur, kita muhasabah dan hisab diri akan perbuatan sepanjang hari.  Kemudian kita beristighfar dengan bersungguh-sungguh supaya Yang Maha Mengampuni memaafkan dosa yang telah dilakukan itu.

Ramadan adalah bulan untuk penyucian jiwa, bulan untuk kita menggandakan pahala dan memohon keampunan dengan berpuasa pada siangnya dan menghidupkan malam-malamnya dengan qiyamullail, beriktikaf dan bertadarus Al-Quran. Justeru, inilah waktu terbaik untuk kita segera bertaubat, sentiasa panjatkan doa agar Allah SWT mendengar permintaan kita dan menghapuskan dosa-dosa kita yang lalu.