Tauhid, ilmu dan jalan ke Syurga

Iman Hanita Hassan 02-Nov-2020
dreamstime_s_143997860
Tauhid, ilmu dan jalan ke Syurga © Ruslee Yaena | Dreamstime.com

Setiap manusia berpotensi masuk ke dalam Syurga selagi kalimah syahadah telah tersemat utuh di dada. Kita bersaksi bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW adalah pesuruh Allah.

Asas kepada semua amalan adalah tauhid, iaitu konsep monoteisme Islam yang mempercayai bahawa Tuhan itu hanya satu. Tauhid ialah asas akidah. Setiap amalan kita tidak diterima tanpa tauhid.

Kegemilangan Islam terdahulu tidak akan berlaku sekiranya para cendekiawan Islam tidak mempunyai asas tauhid dan ketakwaan yang kukuh kepada Allah SWT.  Hanya manusia yang mempunyai tauhid yang kukuh mampu membina keperibadian berkualiti.  Iman yang kukuh dapat mengubah sudut pandang, tindakan dan perlakuan seorang muslim.

Syurga, ilmu dan jalan yang benar

Kita dilahirkan ke dunia ini suci daripada dosa, bukan bersifat malang seperti yang terdapat dalam sesetengah agama.  Kita dilahirkan untuk sentiasa taat kepada perintah Allah SWT yang membawa kepada ketinggian martabat sebagai hamba dan khalifah.  Tidak hairanlah jika umat Islam terdahulu sangat berjaya kerana mereka tidak jemu menggali ilmu untuk melihat kekuasaan-Nya.

Daripada Abu Hurairah r.a bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud:

“Barangsiapa yang menempuh satu jalan untuk menuntut ilmu maka Allah SWT akan memudahkan baginya jalan untuk ke Syurga. Tidaklah satu kumpulan berkumpul di dalam sebuah rumah di antara rumah-rumah Allah, membaca kitab Allah (al-Quran) dan mempelajarinya sesama mereka melainkan akan turun kepada mereka sakinah (ketenangan), diliputi ke atas mereka rahmat dan dinaungi oleh malaikat serta Allah SWT akan menyebut mereka pada malaikat yang berada di sisi-Nya.”

(Hadis Riwayat Muslim)

Kehidupan di dunia ini hanya sementara.  Akhirat adalah kampung halaman yang abadi.  Kita mesti berusaha supaya dapat kembali ke kampung Akhirat dengan selamat.  Kita boleh memilih Syurga dari mana-mana pintu.  Untuk itu, berdampinglah dengan ilmu yang boleh mengemudi diri ke jalan yang benar.  Dengan ilmu, kita sedar bahawa kita juga boleh bersama penghuni syurga.

Islam amat menitikberatkan ilmu kerana ia boleh menghalang kita daripada melakukan perkara yang dimurkai Allah SWT. Ilmu syariah membuatkan kita lebih mengetahui mengenai kehidupan yang diredai-Nya. Ilmu juga akan menjaga keselamatan diri terutama dalam kehidupan yang semakin mencabar. Ini termasuklah masalah jenayah yang membahayakan sehingga membabitkan nyawa.

Potensi untuk masuk ke Syurga

Kesimpulannya, kita semua berpotensi untuk masuk ke Syurga.  Pilihan di tangan kita.  Selagi kita menyembah Allah SWT dan tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu apa pun, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, berpuasa di bulan Ramadan dan menunaikan haji ke Baitullah – pintu syurga terbuka luas.

Apabila manusia lain nyenyak tidur, kita bangun solat malam dan berdoa kepada-Nya dengan penuh rasa takut agar doa dimakbulkan.  Sebahagian rezeki yang diperolehi dinafkahkan.  Pokok penting bagi segala perkara adalah Islam, tiangnya adalah solat sedangkan puncaknya adalah jihad.

Justeru selamatkan diri dan keluarga daripada jalan menuju ke neraka.  Rebutlah Syurga yang penuh dengan kelazatan sepertimana yang dikisahkan dalam al-Quran.  Sepertimana Nabi Muhammad SAW begitu ingin menyelamatkan umatnya.

Rasailah perasaan sama terhadap diri dan keluarga. Rasai seperti setiap hari kita perlu menyelamatkan mereka daripada rumah yang terbakar.  Sesungguhnya setiap ganjaran kebaikan yang hendak Allah SWT berikan kepada kita di akhirat kelak tidak tergambar  di minda.  Hanya Dia Yang Maha Mengetahui.