Tawaduk akhlak dan perilaku

Budaya Hanita Hassan 19-Mei-2020
Anak-anak kecil patuh belajar tentang menunaikan haji © Agung Santoso | Dreamstime.com

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan janganlah kau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah kau berjalan di bumi dengan berlagak sombong, sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang sombong, takbur, lagi membangga diri.” (Surah Luqman, ayat 18)

Kamus Bahasa Melayu mentakrifkan tawaduk sebagai rendah diri, tidak angkuh dan patuh. Orang yang tawaduk akhlaknya terpuji, peri lakunya merendah diri dan taat perintah Allah SWT. Mereka berakhlak baik kepada semua tanpa mengira pangkat dan darjat.

Rasulullah SAW adalah ikon yang boleh dijadikan tauladan kerana paling tawaduk. Ini dapat dilihat melalui akhlak serta keperibadian Baginda yang memilih untuk bersederhana. Sehingga tempat tidur Baginda diceritakan jauh daripada kelazatan dunia.

Sehingga sahabat mengalirkan air mata melihat kehidupan Baginda SAW yang tidak teruja dengan keenakan dunia. Baginda pernah ditawarkan harta kekayaan sebanyak ‘Timur dan Barat,’ tetapi memilih hidup penuh tawaduk, berbakti kepada umat serta agama Islam.

Abu Hurairah r.a. berkata: “Suatu hari saya pergi ke pasar bersama Rasulullah SAW.  Baginda membeli  kain dan meminta orang itu mengukurnya.  Melihat yang di hadapannya adalah Baginda, orang itu langsung meraih tangan Baginda dan menciumnya.

Namun Baginda menarik tangannya daripada genggaman orang itu sambil berkata:  “Ini adalah kebiasaan yang dilakukan oleh orang-orang ajam terhadap raja-raja mereka.  Saya bukanlah raja, saya hanyalah manusia seperti kamu semua.”

Kemudian Baginda mengambil kain tersebut dan saya memintanya dengan membawa maksud membantu membawakan kain itu, namun Baginda menolaknya dengan berkata, “Jangan.  Pemilik barang lebih berhak membawanya.”  (Rujukan kitab Nurul Yaqin fi Sirati Sayyidil Mursalin, Syeikh Muhammad Al Khudhari Bek Al-Bajuri)

Rasulullah SAW bersabda mafhumnya:  “Orang yang cerdik lagi berakal ialah orang yang merendahkan dirinya (dengan sifat tawaduk), di samping menghisabkannya dan beramal untuk selepas mati. Sedangkan orang yang lemah, ialah orang yang mengikut nafsunya dan bercita-cita kepada Allah beberapa cita-cita (angan-angan).” (Hadis riwayat Imam Ahmad dan Ibn Majah)

Semua ibadah yang kita lakukan akan menjadi sia-sia sekiranya ada sikap takbur dalam diri. Dalam kita mencari kebaikan, jangan kita lalai dengan perbuatan yang boleh meruntuhkan matlamat menuju syurga Allah SWT.

Sejarah membuktikan bahawa iblis adalah makhluk yang taat kepada Allah SWT.  Namun sifatnya yang takbur, ia menjadi makhluk yang paling kufur dan derhaka kepada Yang Maha Pencipta.

Sifat rendah diri tidak meletakkan diri kita dalam keadaan yang hina.  Ia malah akan meningkatkan kualiti diri kita sebagai umat Islam.  Tawaduk bukan melalui pakaian lusuh dan kata-kata lemah lembut tetapi meningkatkan solat dan syariat Allah SWT.  Seorang yang tawaduk sifatnya sentiasa melakukan perintah Allah kerana takutkan azab-Nya.  Ia melakukan ibadat dengan penuh keikhlasan.

Kita boleh melihat seseorang itu ada ciri-ciri tawaduk apabila dia suka mendengar nasihat, hatinya lembut dan memanfaatkan semua nasihat yang diperolehi.  Orang yang tawaduk menganggap semua orang istimewa tanpa membezakan status dan kedudukan sosial, hatinya penuh dengan cinta dan kasih sayang.

Semoga kita tergolong dalam kalangan orang yang tawaduk sifatnya.  Teruskan ibadah dan marilah kita bersama mengumpul lebih banyak pahala terutama dalam malam-malam terakhir Ramadan.