Tawakal dan usaha menuju reda Allah SWT

Sahsiah Hanita Hassan 12-Mei-2020
Tawakal kerana Allah SWT © Eldar Nurkovic | Dreamstime.com

Ketika ini, seluruh dunia sedang menghadapi krisis kesihatan yang paling dahsyat akibat pandemik COVID-19.  Masyarakat secara seluruhnya masih tidak bersedia menerima kehadiran wabak ini yang telah mengubah rutin kehidupan harian mereka.

Lebih malang lagi apabila vaksin bagi COVID-19 ini hanya dapat disiapkan menjelang hujung tahun  2020 atau awal tahun 2021.  Penggunaan ubat herba dan kaedah tradisional yang disyorkan oleh doktor dari China hanya boleh digunakan untuk melengkapkan proses pemulihan dan bukan rawatan khusus kepada pesakit COVID-19.

Doktor penyelidik pasca kedoktoran Universiti Sun Yat-sen di China, Sun Jiufeng berkata, republik itu sedang membangunkan dua vaksin berbeza, dengan kedua-duanya kini di peringkat percubaan klinikal.

Apapun, wabak COVID-19 adalah penyakit yang merupakan ujian dari Allah SWT.  Sebagai hamba-Nya, kita harus yakin bahawa segala penyakit itu datangnya dari Yang Maha Pencipta, dan Dia juga yang akan menyembuhkannya. Kita harus yakin juga bahawa segala ujian dari Allah pasti ada hikmahnya.

Sebagai mukmin yang beriman, kita hendaklah meletakkan pengharapan hanya kepada Allah SWT.  Kita memohon perlindungan agar dijauhkan dari segala penyakit yang berbahaya.  Allah sangat mencintai hamba-Nya yang bertawakal dan akan melorongkan jalan keluar serta mengurnia rezeki tanpa disangka-sangka kepada kita.

Tawakal ialah satu ibadah hati paling utama dan akhlak iman paling agung. Kita menyandarkan hati kepada Allah SWT untuk memperoleh pelbagai kemaslahatan dan menghilangkan bahaya dalam urusan dunia mahupun akhirat selain menyerahkan semua urusan kepada-Nya, menyakini sebenar-benarnya tidak ada yang memberi, menghalang, mendatangkan bahaya dan manfaat kecuali Allah SWT.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Kepada Allah sahajalah hendaknya orang-orang yang beriman itu bertawakal (menyerah diri).”  (Surah al’-Imran, ayat 122)

Hakikatnya tawakal perlu disertakan dengan usaha, bukan hanya pasrah dan menyandarkan hati kepada Allah SWT semata-mata.  Dalam memastikan rantaian wabak ini dapat diputuskan, kita hendaklah mengikut saranan kerajaan dan kementerian kesihatan dengan mengambil langkah-langkah pencegahan.

Rasulullah SAW ketika berperang bukan sahaja menggunakan tombaknya tetapi juga memakai dua lapis baju besi dan topi besi dalam pelbagai peperangan yang disertai Baginda.  Rasulullah juga pernah berkata kepada seorang lelaki pemilik unta yang maksudnya:  “Ikatlah (untamu) barulah kamu bertawakal.”  [Riwayat at-Tirmidzi (2157) dan Ibn Hibban (708)]

Sekiranya kita melihat kepada tawakal burung dalam hadis yang diriwayatkan oleh at-Tirmidzi daripada Umar bin al-Khattab.  Beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:  “Sekiranya kamu bertawakal kepada Allah SWT dengan sebenar-benar tawakal, nescaya Allah akan memberi rezeki kepada kamu seperti memberi rezeki kepada burung.  Mereka pergi pagi hari dengan perut kosong dan pulang pada petang hari dengan perut kenyang.”

Sifat burung itu sendiri sebenarnya tidak bermalasan atau duduk di sarangnya sahaja.  Bahkan ia tinggalkan sarangnya mencari makanan.  Bagaimanapun, kita perlu ingat bukanlah usaha semata-mata yang memberi rezeki tetapi yang memberi rezeki itu adalah Allah SWT.