Tayamum dan syarat-syaratnya

Agama Abi Aasim 28-Mei-2020
Tayamum biasanya dibuat ketika di luar rumah © Ahmad Faizal Yahya | Dreamstime.com

Tayamum telah disyariatkan ketika peperangan Bani Al-Mustoliq pada tahun ke enam Hijrah. Ketika itu telah masuk waktu solat tetapi umat Islam tidak mempunyai air untuk berwuduk.

Firman Allah SWT dalam surah Al-Maidah ayat enam: “Dan jika kamu junub (berhads besar) maka bersucilah dengan mandi wajib; dan jika kamu sakit (tidak boleh kena air), atau dalam musafir, atau salah seorang dari kamu datang dari tempat buang air, atau kamu sentuh perempuan, sedang kamu tidak mendapat air (untuk berwudhu’ dan mandi), maka hendaklah kamu bertayammum dengan tanah – debu yang bersih.”

Antara sebab-sebab yang diharuskan untuk Umat Islam bertayamum adalak ketiaka ketiadaan air. Rasulullah SAW bersabda: “Hendaklah engkau menggunakan debu (untuk bertayamum) kerana ia memadai untukmu.” (Hadis riwayat Al-Bukhari)

Bertayamum juga perlu apabila sakit atau bila terjadi luka yang akan menjadi mudarat apabila terkena air. Daripada Jabir Bin Abdullah dan Ibn Abbas: “Kami telah keluar bermusafir lalu salah seorang daripada kami telah dihempap batu sehingga kepalanya cedera parah.

Kemudian dia telah bermimpi dan dia bertanya kepada sahabat-sahabatnya, katanya: ‘Pada pendapat kamu, adakah saya mendapat keringanan untuk bertayamum?’ Mereka menjawab: ‘Kami tidak mendapati engkau mendapat keringanan kerana engkau mampu menggunakan air.’ Lalu dia pun mandi dan meninggal dunia.

Apabila kami sampai kepada Rasulullah SAW, kami menceritakan kejadian tersebut kepada Baginda. Rasulullah bersabda: “Mereka telah membunuhnya, pasti Allah juga akan membunuh mereka (satu amaran). Bukankah mereka sepatutnya bertanya jika tidak tahu. Ubat kejahilan ialah bertanya. Memadai baginya dengan bertayamum dan membalut lukanya. Kemudian menyapu di atasnya dan membasuh bahagian tubuh yang lain.” (HR Abu Daud)

Syarat-syarat tayamum:

  • Menggunakan debu tanah yang suci, tidak musta‘mal dan tidak bercampur benda lain
  • Menyapu muka dan dua tangan dengan dua kali pindah
  • Hilang najis terlebih dahulu
  • Masuk waktu sembahyang
  • Bertayammum bagi setiap ibadat fardhu
  • Ada keuzuran seperti sakit atau ketiadaan air

Anggota tayamum:

  • Muka
  • Dua belah tangan hingga siku

Islam itu begitu indah dan memudahkan penganutnya. Semoga dengan kefahaman agama, kita dapat melakasanakan kewajipan agama dengan lebih sempurna dan bertepatan dengan ajaran Nabi dan Al-Quran.