Tealive Tembusi Pasaran Brunei

Di saat pelbagai jenama teh bubble dari luar negara memasuki pasaran Malaysia, ada sebuah jenama tempatan yang kini sedang giat memperluaskan kehadirannya di pasaran serantau.

Tealive, sebuah jenama teh gaya hidup, baru-baru ini melebarkan sayap ke pasaran Brunei dengan membuka cawangan pertamanya di negara itu, iaitu di Bandar Seri Begawan.

Terletak di pusat beli-belah Aman Hills, cawangan yang dibuka pada 7 Julai itu menerima sambutan memberangsangkan daripada pembeli penduduk Brunei.

 

“Pada hari pertama pembukaan, kami berjaya mencatatkan jualan yang memberangsangkan iaitu lebih daripada 1,000 cawan terjual.

“Kami amat bersyukur dengan sambutan yang diberikan oleh para pelanggan di Brunei.

“Pada masa yang sama, kami juga amat berbangga kerana sebagai sebuah jenama yang berasal dari Malaysia, kami telah berjaya menunaikan keperluan para peminat teh di sini,” ujar Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Loob Holding Sdn. Bhd., Bryan Loo.

Tambah Bryan, dengan populariti yang diraih Tealive di Malaysia, ia sedikit sebanyak membantu meningkatkan kesedaran jenama Tealive di kalangan para penggemar teh di Brunei.

“Tealive adalah sebuah jenama popular buat rakyat Malaysia dan cawangan kami yang terletak di Miri, Sarawak, mencatatkan prestasi terbaik semenjak ia mula beroperasi pada tahun 2017.

“Dengan penerimaan yang sangat memberangsangkan dari pasaran Brunei, kami bercadang untuk membuka dua buah lagi cawangan di negara ini menerusi kerjasama bersama pemegang francais kami di Brunei,” jelasnya.

Setakat ini, cawangan Tealive telah mencecah sehingga 300 buah di peringkat serantau.

Jenama kelahiran Malaysia itu juga telah mengembangkan sayapnya ke China, Vietnam, Australia, dan United Kingdom selain Brunei.

Foto: Ming, KH & Associates