Teater Muzikal Cats Di Istana Budaya Dibatalkan

Teater Muzikal Cats yang dijadualkan memasuki Istana Budaya pada Januari hadapan telah dibatalkan atas sebab-sebab yang tidak boleh dielakkan.

Perkembangan terbaru ini diumumkan oleh pihak penganjur, Best Live Entertainment dalam satu kenyataan media. Sehubungan itu, mereka yang telah membuat pembelian tiket akan mendapat semula jumlah bayaran yang telah dibuat. Pembayaran akan dilakukan secara berperingkat bermula 1 November hadapan.

“Bayaran balik akan dibuat melalui TicketCharge. Pemegang-pemegang tiket akan mendapat kesemua jumlah wang yang telah dibelanjakan termasuklah bayaran tambahan untuk yuran proses dan caj kurier (jika berkenaan),” ulas pihak penganjur.

Dalam masa yang sama, peminat juga akan ditawarkan untuk menaik taraf tiket bagi membolehkan mereka menyaksikan teater muzikal ini di Marina Bay Sands, Singapura dari 17 Disember hingga 5 Januari 2020.

“Pemegang tiket yang masih berminat untuk menyaksikan pementasan ini, mereka boleh menikmati pementasan ini di Singapura dengan menaik taraf tiket secara percuma. Malah, pemegang tiket premium dan premium front akan diberikan buku program serta poster berautograf secara percuma” jelas kenyataan media itu lagi.

Jadi, jika anda salah seorang pemegang tiket yang mahu menyaksikan pementasan ini di Singapura, anda dikehendaki memaklumkan pihak penganjur sebelum 31 Oktober ini.

Untuk maklumat lanjut, anda boleh menghubungi TicketCharge di talian 03-92228811.

Teater Muzikal Cats ini diinspirasikan daripada buku kumpulan puisi oleh T.S Eliot, ‘Old Possum’s Book of Practical Cats’ (1939).

Teater ini mencatat sejarah sebagai rancangan paling lama di West End dan Broadway dengan tempoh tayangan selama 21 tahun serta berjaya merangkul Anugerah Muzikal Terbaik di Olivier dan Evening Standard Award.

Foto : Teen Vogue