Tegur anak ada seninya

Seni menegur anak © Distinctiveimages | Dreamstime.com

Anak adalah amanah Allah SWT dan harta yang paling berharga yang harus dijaga dengan sebaik-baiknya.  Lahirnya dalam keadaan fitrah, suci dan bersih daripada dosa.  Dikurniakan akal fikiran untuk berfikir dan menjalani kehidupan berlandaskan pendidikan Islam yang diberikan oleh ibu bapa masing-masing.

Allah SWT berfirman dalam Al-Quran yang bermaksud: “Sesungguhnya benar Kami ciptakan manusia dengan bentuk yang sebaik-baiknya.”  (Surah at-Tin, ayat 4)

Allah SWT juga telah berfirman dalam Surah al-Isra, ayat 70:  “Dan sesungguhnya Kami muliakan anak cucu Adam dan Kami membawa mereka ke daratan dan lautan dan Kami beri mereka rezeki daripada yang baik-baik dan Kami lebihkan mereka atas kebanyakan daripada siapa sahaja yang Kami ciptakan dengan kelebihan yang sempurna.”

Lumrah kehidupan, apabila anak semakin membesar, pelbagai ragam dan tingkah laku mereka yang perlu ditangani.  Walau bagaimanapun sebagai ibu bapa, anda hendaklah sentiasa bersabar dan tidak berputus asa untuk terus memberi tunjuk ajar kepada anak.

Dalam menegur anak, anda perlu faham seni dan tekniknya.  Meskipun kepada anak kecil, tegurlah mereka secara berhemah dan berhikmah agar tingkah laku anak dapat dibina secara positif.  Sebagai ibu bapa, anda perlu kenal personaliti anak sebelum menegur.  Ini kerana personaliti anak akan membezakan cara anda mengambil tindakan kepada mereka.

Tegurlah dengan jelas dan bukannya secara menyindir.  Maksud jelas ialah menyebut tingkah laku atau respon kepada kelakuan anak yang perlu dibaiki.  Dalam masa yang sama berilah cadangan supaya anak dapat mengubah kelakuannya pada masa hadapan.

Kita harus ingat bahawa tidak semua anak faham akan bahasa kiasan atau sindiran.   Sekiranya apa yang anda cuba sampaikan tidak difahami, ia akan membuatkan mereka cenderung untuk mengulangi kesalahan yang sama pada masa hadapan.

Sebagai ibu bapa, anda juga perlu mencari masa yang sesuai untuk menegur atau memberi nasihat.  Elakkan menegur di hadapan khalayak ramai.  Tegurlah ketika bersendirian atau berada di tempat tertutup.  Dengan cara ini, anak tidak menganggap teguran dan nasihat yang diberikan kepada mereka sebagai leteran yang membingitkan.

Islam mengajar umatnya supaya sentiasa nasihat menasihati serta tegur-menegur supaya menyedari kesilapan, kesalahan dan kelemahan diri.  Dalam menegur itu, lakukan dengan adab dan penuh sopan, menggunakan bahasa dan suara yang  lembut serta tidak bernada tinggi dan angkuh.

Sepertimana firman Allah SWT dalam Al-Quran yang bermaksud: “Maka kamu katakan kepadanya kata-kata yang lemah lembut, mudah-mudahan dia beringat (sedar) atau takut (kepada Tuhan).” (Surah Taha, ayat 44)

Anda perlu meminta maaf kepada anak selepas membuat teguran bertujuan memujuk perasaan anak supaya tidak terasa hati atas nasihat dan teguran yang diberi.  Sentiasa bersangka baik terhadap anak kerana mungkin juga mereka tidak sedar apa yang dilakukan itu adalah satu kesalahan.

Justeru dalam menegur anak, hendaklah dengan penuh berhemah, jangan menegur   sampai menghina, mendidik jangan sampai memaki, meminta jangan sampai memaksa dan memberi jangan sampai mengungkit.