Teh, minuman kegemaran dunia

Makanan Hanita Hassan 16-Ogo-2020
Ladang Teh Boh di Cameron Highlands, Pahang © Mhhafiz066 | Dreamstime.com

Teh adalah minuman berkafein yang menjadi kegemaran ramai di seluruh dunia.  Ia boleh diminum kosong tanpa gula atau dengan gula.  Ia juga boleh diminum dengan susu segar atau susu pekat manis.  Teh panas yang dicampur susu jika ditarik beberapa kali akan menghasilkan buih dan sedap untuk diminum.  Ia popular di Malaysia dan dikenali sebagai Teh Tarik.

Lebih 5,000 tahun lalu teh ditemui secara tidak sengaja apabila daun teh terjatuh ke dalam air mendidih, menukar warna serta memberi rasa kepada air tersebut. Sejak itu, teh yang dikatakan berkhasiat dan baik untuk kesihatan digunakan sebagai minuman untuk perubatan.

Hanya selepas tahun 1700-an, teh mula dijadikan minuman dengan tambahan pelbagai perisa herba, rempah, bunga-bungaan dan buah-buahan sehingga hari ini.

Teh terhasil daripada daun atau pucuk pokok renek Camellia Sinensis atau Camellia Thea.  Daun teh yang dipetik, diproses dengan cara berbeza bagi mengeluarkan rasa dan aroma tertentu pada teh. Proses mendapatkan serbuk teh melibatkan pengoksidaan, pemanasan dan pengeringan.

Penanaman teh banyak terdapat di China, India, Pakistan, Sri Lanka, Taiwan, Jepun, Indonesia, Nepal, Australia, Argentina dan Kenya.  China adalah negara pengeluar teh yang tertua dan terbaik kerana bau teh yang harum dan wangi.  Salah satu teh yang terkenal ialah Lapsang Souchong.

Di Malaysia, teh banyak terdapat di tanah tinggi Cameron dan kawasan pergunungan Kinabalu di Sabah. Di tanah tinggi Cameron, ia ditanam di situ sejak zaman penjajahan British.  Tanahnya yang sedikit berasid sesuai untuk penanaman teh selain sayur-sayuran dan buah-buahan segar.  Keadaan muka buminya yang sejuk dan nyaman terutama selepas waktu hujan sentiasa menjadi daya penarik pelancong dalam dan luar negara mengunjunginya.

Minuman kedua yang paling ramai mengambilnya selepas air putih ini banyak manfaatnya untuk kesihatan.  Ia kaya dengan antioksidan yang mampu menghalang tubuh badan daripada proses penuaan dan menentang kerosakan yang berpunca daripada pencemaran.

Teh hijau dan putih yang kurang pengoksidaan mempunyai kadar antioksidan yang lebih tinggi kerana kurang diproses berbanding teh jenis lain.

Kajian mendapati risiko serangan jantung berkurang sehingga 20% dan risiko serangan strok berkurang sehingga 35% bagi anda yang minum satu hingga tiga cawan teh hijau setiap hari.  Risiko serangan jantung berkurang sehingga 32% bagi yang minum empat cawan atau lebih teh hijau setiap hari.

Salah satu teh herba yang berasal dari Asia Selatan yang terkenal dengan kegunaannya dalam bidang perubatan ialah teh Moringa.  Ia kaya dengan kalsium, zat besi, vitamin A dan K, menjadikannya minuman tepat untuk menguatkan tulang.

Kajian juga mendapati teh berupaya meningkatkan sistem imun tubuh dan berkesan melawan penyakit.  Teh Basil atau Tulsi yang mengandungi khasiat seperti anti-bakteria, anti-kulat dan anti-radang digunakan oleh pengamal perubatan Ayurvedic sejak berabad lama.  Ia dikatakan membantu menguatkan sistem imun selepas berlakunya kecederaan dan ditimpa penyakit.

Bagi anda yang mempunyai sindrom gangguan pencernaan, teh herba seperti Chamomile baik untuk diminum.  Ia boleh mengurangkan kekejangan otot di sekitar perut.  Begitu juga, teh halia boleh mengurangkan rasa loya.

Dalam Islam, apa pun minuman yang halal diminum hendaklah bermula dengan niat kerana Allah SWT.  Kita berniat agar badan kita sihat serta dapat memenuhi perintah-Nya.